X

Kindly register in order to view this article
!

Anwar sengaja mahu pengaruh pengundi di Sabah

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media semalam. -Foto Bernama
A
A

KOTA BHARU - Pengumuman Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu merupakan usaha dangkal untuk mempengaruhi pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, ia juga satu strategi politik murahan pimpinan Pakatan Harapan (PH) memandangkan kejutan Anwar itu dibuat ketika kempen PRN Sabah berbaki tiga hari lagi.

Beliau berkata, PH terpaksa membuat kenyataan sebegitu supaya pengundi Sabah memberikan undi kepada Parti Warisan Sabah (Warisan) ketika mana 'mood' rakyat begitu tinggi untuk memastikan kerajaan negeri dibentuk nanti adalah kerajaan yang bersama dengan kerajaan Persekutuan demi untuk kebaikan rakyat Sabah.

“Ia satu strategi sangat dangkal dan mudah dibaca yang sudah tentu tidak akan mempengaruhi pengundi Sabah, apatah lagi kenyataan ini dibuat oleh Anwar yang sudah beberapa kali membuat kenyataan yang tidak tertunai seperti Langkah Kajang, September 16 dan sebagainya.

“Dakwaan beliau mendapat sokongan kuat majoriti ahli Parlimen Melayu dan Bumiputera untuk menyokong PH adalah satu dakwaan palsu kerana pimpinan Melayu dan Bumiputera amat sedar dan mengenali PH yang telah diberi peluang mentadbir negara selama 22 bulan itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Che Abdullah yang juga Ahli Parlimen Tumpat berkata, rakyat juga sudah mengenali PH secara dekat dengan pengalaman 22 bulan itu.

“Seruan saya kepada rakyat Sabah ialah teruskan usaha untuk mengembalikan kerajaan negeri yang bersama dengan kerajaan Persekutuan melalui pilihan raya Sabtu ini,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar dakwa bakal tubuh kerajaan baharu

UMNO, BN tidak dapat halang Ahli Parlimen mahu sokong Anwar


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!