Ahli Parlimen tidak boleh bertindak di luar Dewan Rakyat

Veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah
Veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen tidak boleh bertindak di luar Dewan Rakyat walaupun memiliki Surat Sumpah atau Surat Akaun Bersumpah (SD) sokongan separuh daripada jumlah bilangan ahli Dewan Rakyat.

Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, sokongan menerusi cara itu tidak bermakna kerana lucut atau tidak kuasa pemerintahan akan ditentukan di dalam Dewan Rakyat secara undian ahli Parlimen yang hadir.

"Lucut atau tidak kuasa pemerintahan ditentukan dalam Dewan Rakyat dengan ahli yang dapat hadir sendiri untuk mengundi dan tidak boleh dilakukan secara proksi atau diwakili melalui surat sumpah atau SD.

"Perdana Menteri mesti menghadap Yang di-Pertuan Agong apabila beliau hilang sokongan untuk meletak jawatan sebagai dan mohon sama ada untuk Agong bubarkan Parlimen bagi mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU).

"Atau (Tuanku) melantik ahli Parlimen lain yang Tuanku berpendapat mempunyai sokongan majoriti ahli dalam Dewan Rakyat," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tengku Razaleigh berkata demikian mengulas kenyataan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini yang mengumumkan beliau mempunyai cukup sokongan majoriti daripada ahli-ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan baharu.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar dakwa bakal tubuh kerajaan baharu

UMNO, BN tidak dapat halang Ahli Parlimen mahu sokong Anwar

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengulas lanjut, Tengku Razaleigh berkata, keputusan muktamad tetap terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Ahli-ahli Parlimen tidak boleh ikut sesuka hati masing-masing walaupun mendakwa mempunyai bilangan penyokong yang cukup, pandai-pandai hendak tubuh kerajaan tanpa dijemput oleh Yang di-Pertuan Agong untuk berbuat demikian. Itulah caranya," katanya.