12 pasukan sudah lengkap proses penswastaan

Gambar kecil: Mohd Firdaus Mohamed
Gambar kecil: Mohd Firdaus Mohamed
A
A
A

HANYA 12 pasukan Liga Malaysia (Liga-M) yang baharu melengkapkan penswastaan kelab bola sepak (FC) masing-masing yang turut merangkumi proses pemisahan dari persatuan bola sepak (FA) ke FC menjelang tarikh akhir yang ditetapkan pada 30 September ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Khas Bola Sepak Profesional Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed, Johor Darul Ta'zim, Sarawak United FC, Petaling Jaya City FC, Armed Forces FC, Negeri Sembilan, Kelantan United FC, Melaka, Terengganu FC, Kuching FA, Sabah, Kuala Lumpur dan Perak adalah pasukan yang sudah melengkapkan proses masing-masing.

"Tahniah diucapkan kepada 12 pasukan ini atas kesungguhan dan kerja keras yang ditunjukkan oleh pengurusan tertinggi serta para pegawai mereka untuk berjaya menyerahkan semua dokumen yang diperlukan dalam melengkapkan proses penswastaan FC ini.

"Enam pasukan lain masih dalam proses untuk melengkapkan penswastaan FC ini iaitu tiga pasukan - Selangor, Kelantan dan Felda United FC yang sudah dalam peringkat akhir proses serta tiga pasukan - Pahang, Pulau Pinang dan Kedah yang dalam peringkat pertengahan proses," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Mohd Firdaus lagi, perkembangan tiga lagi pasukan iaitu PDRM, UiTM FC dan UKM FC pula berada dalam peringkat awal proses penswastaan FC.

Bagaimanapun jelasnya, surat peringatan terakhir telah pun dihantar kepada pasukan-pasukan ini semalam.

"Sekiranya gagal berbuat demikian, pasukan-pasukan yang berkenaan tidak akan diterima untuk menyertai pertandingan kelab di peringkat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) jika layak, serta juga pertandingan domestik iaitu CIMB Liga Super dan Liga Premier 2021.

"Ingin ditekankan di sini bawah tarikh akhir yang ditetapkan iaitu 30 September tidak boleh dianjakkan lagi dan ia perlu diberi perhatian serta tindakan segera daripada pengurusan dan pegawai pasukan-pasukan ini bagi melengkapkan juga proses penswastaan FC ini.

Artikel Berkaitan:

"FAM sentiasa terbuka untuk memberikan bantuan dan pertolongan kepada mana-mana pasukan yang memerlukan supaya pada akhirnya, kita mahu melihat kesemua pasukan ini dapat melengkapkan juga penswastaan FC ini sebelum tarikh akhir tersebut," katanya.