X

Kindly register in order to view this article
!

Masalah air di Kelantan tak boleh selesai sekelip mata

Mohd Amar Nik Abdullah
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan meminta rakyat negeri ini bersabar dengan isu air yang dihadapi sekian lama kerana ia merupakan masalah yang tidak boleh diselesaikan dalam sekelip mata.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, untuk selesaikan masalah air ia bergantung kepada satu-satu kawasan yang mana ia memakan masa tidak kurang dari lima tahun bagi keseluruhan negeri.

Menurutnya, untuk memberikan bekalan air bersih kepada rakyat, kerajaan telah menukar paip lama di seluruh negeri tetapi ia memerlukan masa.

“Rakyat perlu bersabar dan memahami situasi yang dihadapi oleh kerajaan dalam menyelesaikan masalah air yang dihadapi kerana ia memerlukan kos besar.

"Baru-baru ini Menteri Alam Sekitar dan Air ada mengumumkan peruntukan RM7 bilion untuk selesaikan keseluruhan (masalah air) tapi proses ini memakan masa. Kita kena faham, bukan hari ini kita isytihar, minggu depan sudah boleh selesai.

"Jadi ini perkara yang perlu difahami oleh rakyat, usaha memang kita buat setakat kemampuan yang ada, tetapi kalu nak tengok selesai dalam sekelip mata memang mustahil," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini.

Mohd Amar berkata, jika hendak dibandingkan dengan sebelum ini sudah terdapat perubahan yang mana kawasan yang pernah mengalami masalah air sudah menerima bekalan secara konsisten bahkan lebih baik dari dahulu.

"Sebab itu saya selalu terangkan, supaya rakyat boleh faham sebab ada tuduhan terhadap kerajaan yang mengatakan kita tidak berbuat apa-apa, tidak ada perancangan.

"Sebenarnya kita sudah cuba bermacam cara, kita sediakan tangki statik di sesetengah kawasan dan lori untuk hantar air. Kerajaan juga menyewa bagi membolehkan bekalan air dihantar ke kawasan yang memerlukan," katanya.

Katanya, sudah banyak usaha yang dibuat untuk membantu rakyat tetapi kerajaan mengakui belum mampu untuk menyelesaikan 100 peratus, tetapi sudah ada perubahan yang dilakukan bagi memastikan rakyat di negeri itu menikmati bekalan air bersih.

“Sebagai contoh, sebelum ini kerajaan membuat perancangan untuk lima tahu dan selepas itu kadar penggunaan air meningkat disebabkan pertambahan jumlah penduduk dan sebagainya.

“Itu adalah situasi sebenar yang berlaku dan kerajaan bukan mencari alasan berkaitan masalah air,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!