Calon PBS Paginatan teruskan perjuangan, enggan tarik diri

Arthur Sen Siong Choo
Arthur Sen Siong Choo
A
A
A

RANAU – Calon Parti Bersatu Sabah (PBS) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paginatan Arthur Sen Siong Choo @ Sin Siong Choi tetap akan meneruskan perjuangan kempennya sehingga tamat Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berakhir Sabtu ini.

Beliau yang akan berdepan lapan pencabar lain menegaskan tidak akan mengundurkan diri selepas tempoh kempen hanya berbaki tinggal dua hari lagi.

Pendirian itu dimuat naik dalam laman Facebook beliau Arthur Sen yang dibuat selepas Perikatan Nasional (PN) dikatakan akan meneruskan rundingan dengan PBS bagi memastikan kerusi yang ada isu pertembungan di antara kedua-dua parti diselesaikan.

“Saya calon PBS DUN N38 Paginatan tidak tarik diri seperti diwar-warkan oleh pihak lawan. Saya terus bertanding. Undilah PBS,” katanya.

Kerusi DUN Paginatan, di Ranau menyaksikan Arthur menentang calon Perikatan Nasional (PN) daripada Parti Solidariti Tanah Airku (Star) yang juga penyandang kerusi berkenaan, Datuk Abidin Madingkir dan calon Barisan Nasional (BN) daripada UMNO.

Kerusi itu turut ditandingi calon dari Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri), Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Parti Liberal Demokratik (LDP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) dan Parti Cinta Sabah (PCS).

Semalam, PBS dan Star bersetuju untuk menyelesaikan isu pertembungan kedua-dua parti di kerusi DUN Tambunan dan Bingkor.

Menerusi perjanjian di antara Presiden Star, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Setiausaha Agung PBS, Datuk Jahid Jahim itu, PBS bersetuju menghentikan kempen parti itu di kedua-dua kerusi berkenaan.

Artikel Berkaitan:

PBS juga bersetuju untuk membantu kempen calon Star yang bertanding atas tiket PN di kedua-dua kerusi.

Sebagai ganti, Star akan membantu kempen calon PBS di Api-Api dan Bengkoka.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang mengumumkan keputusan itu semalam berkata, terdapat empat lagi kawasan lain masih sedang dalam rundingan bagi memastikan kemenangan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS).