Dakwaan Anwar gimik politik, tindakan terdesak: Hajiji

Hajiji Noor - Foto Bernama
Hajiji Noor - Foto Bernama
A
A
A

TUARAN - Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah Datuk Hajiji Noor menyifatkan dakwaan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau telah mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan baharu menggantikan Perikatan Nasional (PN) sebagai satu gimik politik.

Beliau berkata, dakwaan Ahli Parlimen Port Dickson itu hanyalah satu percubaan untuk mengubah fikiran orang Sabah supaya menyokong mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Sabtu ini.

“Ini tidak mungkin berlaku... Tidak mungkin beliau mendapat sokongan daripada Sarawak, UMNO, PN. Bagi saya, ini adalah satu gimik politik Anwar untuk Warisan, PKR, dan DAP menang di Sabah (pada pilihan raya negeri).

“Bagaimanapun, rakyat Sabah bijak memilih. Rakyat Sabah sudah tahu rekod (kerajaan) Warisan selama dua tahun dan saya fikir mereka (rakyat) akan memilih kerajaan negeri baharu 26 September ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program ramah mesra pemimpin bersama rakyat di Kampung Penimbawan hari ini.

Hajiji berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Anwar yang mendakwa mendapat sokongan 'kukuh dan meyakinkan' untuk membentuk kerajaan baharu menggantikan kerajaan PN.

Dalam sidang akhbar tengah hari tadi, Anwar berkata, beliau telah mendapat perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Selasa namun ditangguhkan berikutan Seri Paduka mendapat rawatan di Institut Jantung Negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar dakwa bakal tubuh kerajaan baharu

UMNO, BN tidak dapat halang Ahli Parlimen mahu sokong Anwar

Artikel Berkaitan:

Hajiji turut menyifatkan tindakan Anwar sebagai terdesak kerana ia dibuat pada saat-saat rakyat Sabah akan mengundi untuk memilih kerajaan negeri baharu bagi penggal berikutnya Sabtu ini.

“Hanya tinggal dua, tiga hari lagi (PRN Sabah). Justeru, strategi ini saya ingat tidak akan mempengaruhi rakyat Sabah kerana mereka tahu ini juga satu pembohongan... tidak betul,” katanya.

Sementara itu, Presiden Parti Bersatu Sabah Datuk Seri Dr Maximus Ongkili ketika dihubungi Bernama enggan memberikan sebarang komen berhubung perkara tersebut. - Bernama