Kluster Udin pula dikesan di Tawau

Udin adalah kluster terbaharu dikenal pasti di Tawau selepas tiga kes dilaporkan positif.
Udin adalah kluster terbaharu dikenal pasti di Tawau selepas tiga kes dilaporkan positif.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan kluster terbaharu, Udin dikenal pasti di Tawau selepas tiga kes dilaporkan positif.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, indeks kluster itu membabitkan kes ke-9,894 iaitu seorang perempuan tempatan berumur 72 tahun.

"Kes indeks dikesan positif Covid-19 hasil saringan warga emas yang dijalankan di Klinik Kesihatan Merotai, Tawau pada 12 September.

"Saringan kontak rapat dijalankan dan dua lagi dikesan positif Covid-19 semalam. Kedua-dua kes positif ini melibatkan warga Filipina dan tidak bergejala," katanya.

Menurutnya, pesakit kemudian dimasukkan ke Hospital Tawau untuk rawatan menjadikan seramai 128 individu disaring setakat ini.

"Hasil saringan mendapati tiga dikesan positif, 71 negatif dan 54 lagi menunggu keputusan.

"Langkah pencegahan jangkitan termasuk proses nyah kuman dan pembersihan sudah dijalankan di lokasi terlibat. Punca jangkitan adalah masih dalam siasatan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: 143 kes baharu, tiga kematian

Artikel Berkaitan:

Sabah yang sedang dalam suasana Pilihan Raya Negeri (PRN) mempunyai lapan Kluster Covid-19 termasuk Udin.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, KKM menggunakan Ujian Rapid Test Kit-Antigen (RTK-Ag) sebagai ujian saringan Covid-19 di makmal terdapat di Sabah.

"RTK-Ag mempunyai kelebihan untuk mengesan wabak Covid-19 dengan cepat dalam jumlah besar dan terdapat sebanyak 23 makmal hospital dan 26 makmal klinik kesihatan di bawah KKM yang menjalankan ujian RTK-Ag di Sabah.

"Ujian diagnostik real-time Reverse-Transcription Polymerase Chain Reaction (rRT-PCR) pula digunakan bagi pengesahan Covid-19," katanya.

Katanya, ujian RT-PCR di Sabah bermula pada bulan Februari 2020 di Makmal Kesihatan Awam, Kota Kinabalu dengan kapasiti 200 ujian sehari dan seterusnya diperluaskan ke Hospital Queen Elizabeth serta makmal Universiti Malaysia Sabah pada Mac.

"Berhubung dengan pertambahan bilangan kes di Sabah, KKM menambah kapasiti makmal yang boleh menjalankan ujian rRT-PCR sebagai salah satu langkah kesiapsagaan.

"Secara keseluruhan, jumlah kapasiti ujian harian makmal sampel Covid-19 di seluruh Sabah adalah ditingkatkan kepada 2,500 ujian sehari," katanya.