Daerah miskin: Kerajaan jangan saling tuding jari

Dr Rusdi Omar
A
A

KOTA BHARU – Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri perlu mengambil tanggungjawab yang serius dalam membangunkan negeri ini, bukan saling menuding jari antara satu sama lain.

Penganalisis Politik, Prof Madya Dr Rusdi Omar berkata, Kerajaan PH diharap dapat membantu Kerajaan negeri kerana ramai lagi rakyat Kelantan mempunyai pendapatan di bawah garis kemiskinan.

“Kepimpinan negeri pun kena lihat balik. Apa yang kita lakukan kepada negeri kita. Pentadbiran kena perinci lagi. Jangan hanya menabur janji, tapi belum tentu dapat mengotakannya.

“Mereka perlu cari inisiatif untuk memajukan negeri, bukan semata-mata bergantung kepada kerajaan untuk dapatkan bantuan kewangan dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Harun yang memberitahu 28 daerah termiskin dikenal pasti untuk diberi fokus khusus dalam meningkatkan tahap sosio ekonomi bagi membolehkan masyarakat setempat keluar daripada kepompong kemiskinan.

Antara daerah yang terlibat ialah Yan dan Baling di Kedah, Tumpat di Kelantan serta beberapa daerah di Sabah dan Sarawak yang mendominasi angka daerah termiskin itu.

Rusdi berkata, pembangunan negeri ini perlu juga melibatkan profesional dan cerdik pandai dari Kelantan yang berada di luar Kelantan.

Beliau berkata, perlu diwujudkan juga badan pemikir dalam setiap agensi kerajaan negeri dan juga agensi swasta untuk urusan yang sama.

“Jangan bergantung sepenuhnya kepada pemimpin politik dalam memberi idea dan pandangan, risau tak ke mana nanti. Diharapkan dengan kerajaan baru di bawah PH, perkara ini tidak akan berlaku.

“Pemimpin kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan ketepikan dulu ideologi politik mereka sekiranya mereka mahu membangunkan negeri Kelantan supaya rakyatnya dapat manfaat.

“Kurang berpolitik dan buat kerja dan bantu rakyat, pemimpin negeri jangan ego bila berurusan dengan Kerajaan Pusat,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia