Isu Anwar: PH Johor tunggu dan lihat

Aminolhuda Hassan
Aminolhuda Hassan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pakatan Harapan (PH) Johor hanya menantikan sebarang tindakan atau pengumuman terbaharu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hari ini mendakwa memperoleh majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan Pusat.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan berkata, semua pihak perlu bersabar dan menunggu perkembangan lanjut politik tanah air dalam masa terdekat.

"Tunggu dan lihat sehari dua ini," katanya ringkas ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata demikian apabila ditanya kedudukan kerajaan negeri ekoran kenyataan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu setelah mendakwa memperoleh majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan Pusat.

Anwar hari ini mengatakan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tumbang selepas mendakwa pihaknya memperoleh majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan.

Menurut Anwar, kerajaan baharu tersebut adalah gabungan ahli Parlimen daripada pelbagai parti, namun tidak menyebut jumlah majoriti yang diperoleh setakat ini.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor kini memiliki 56 kerusi dengan agihan adalah UMNO dan DAP masing-masing 14, Bersatu (12), MIC (dua), Pas (satu), Parti Amanah Negara (9) dan PKR (empat).

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar dakwa bakal tubuh kerajaan baharu

Artikel Berkaitan:

UMNO, BN tidak dapat halang Ahli Parlimen mahu sokong Anwar

Ini menjadikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mempunyai 29 kerusi berbanding PH 27 kerusi, manakala majoriti mudah bagi membentuk kerajaan baharu di Johor ialah 29 kerusi.

Sebelum ini timbul desas-desus bahawa kerajaan PN Johor akan tumbang ekoran spekulasi beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) kerajaan akan menyokong pembangkang iaitu PH.

Namun keadaan itu terjadi sebaliknya apabila sidang DUN Johor pada minggu lalu berakhir tanpa usul tidak percaya yang dikemukakan terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad.

Sementara itu, ADUN Bukit Permai, Tosrin Jarvanthi yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor yakin kerajaan sedia ada masih kukuh dan Muhyiddin masih lagi menjadi Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che Puan Khaleeda Bustamam serta dua anaknya melawat Sekolah Agama Taman Kota Masai, Pasir Gudang hari ini.