Bung Moktar yakin autonomi, perubahan BN-UMNO mampu tarik pengundi

Bung Moktar - Foto Bernama
Bung Moktar - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin yakin kuasa autonomi dan perubahan dilakukan UMNO negeri mampu menarik pengundi untuk memilih parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada Sabtu ini.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah berkata, pendekatan BN-UMNO sekarang yang sudah berubah dan tidak lagi seperti dahulu termasuk dalam menentukan pengurusan parti, calon bertanding dan pembahagian kerusi menunjukkan parti itu kini bergerak atas paksi sendiri tanpa campur tangan daripada UMNO pusat.

Bung Moktar berkata, pemilihan 95 peratus calon-calon muka baharu untuk bertanding pada PRN Sabah ke-16 ini juga memberi nafas dan wajah baharu kepada parti itu yang sekali gus membuktikan keberanian serta ketegasan beliau dalam menentukan hala tuju BN-UMNO di Sabah.

“BN-UMNO bukan lagi macam dulu, cara kepimpinan sudah berubah, begitu juga cara kita menguruskan parti ini sudah terlalu berubah. Kita tidak lagi eksklusif... (tetapi) kita inklusif.

“Kita terus mesra dengan rakyat dan turun ke bawah bersama mereka. Saya cukup puas hati rakyat menerima BN-UMNO Sabah berwajah baharu, pemimpinnya 100 peratus baharu, calon-calon baharu. Jadi, apa lagi yang dirasakan kita tidak tunaikan? Ini pada saya satu keberanian yang kami lakukan,” katanya kepada Bernama.

Bung Moktar berkata, calon-calon muka baharu diketengahkan BN khususnya UMNO pada PRN Sabah ini terdiri daripada pejuang parti yang perlu diberikan peluang untuk terus bersinar dalam arena politik sekali gus menjadi wakil rakyat yang berperanan mencorakkan masa depan khususnya dalam kalangan anak muda.

“Kepimpinan dulu terlalu bimbang untuk mengetengahkan anak-anak muda menjadi calon. Saya orang berjiwa besar, saya mahu memberi ruang lingkup luas kepada anak-anak muda kerana anak-anak muda penerus masa depan... Kita memberi satu platform kepada anak-anak muda ini,” katanya.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu turut mengingatkan pengundi khususnya dalam kalangan anak muda supaya sentiasa rasional dan tidak bermain emosi dalam menentukan pilihan pada hari mengundi.

Artikel Berkaitan:

“Politik ini jangan main perasaan... emosi... kerana parti yang baik tetapi calon tidak kena (sesuai) pun susah. Ia kena seimbang (antara calon dan parti). Anak-anak muda menentukan masa depan,” katanya.

Beliau turut berharap rakyat akan memilih kerajaan negeri baharu yang lebih bertanggungjawab dalam membawa arus pembangunan seperti dijanjikan termasuk sentiasa peka terhadap kebajikan rakyatnya.

Rakyat Sabah akan memilih kerajaan negeri baharu Sabtu ini dengan 1.12 juta pengundi layak menentukannya pada pilihan raya kali ini yang melibatkan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri. - Bernama