Pas ambil pendekatan tunggu dan lihat

Mohd Amar ketika ditemui pemberita di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu hari ini.
Mohd Amar ketika ditemui pemberita di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Pas mengambil pendekatan tunggu dan lihat berhubung dakwaan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau sudah mempunyai sokongan majoriti untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan Perdana Menteri bukan perkara mudah yang boleh diputuskan begitu sahaja.

Malah, Mohd Amar turut mempersoalkan 'angka' ahli Parlimen yang berada dalam genggaman Anwar yang sepatutnya dimaklumkan Ahli Parlimen Port Dickson itu.

“Dari segi kaedahnya, kalau betul-betul cukup bilangan (sokongan), dia (Anwar) perlu mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk untuk menyatakan perkara ini. Itu senarionya.

"Kerajaan ini tidak akan tumbang dengan hanya buat pengisytiharan. Bukan kata apabila kita isytihar, terus tumbang. Ada proses-prosesnya. Kita tunggulah tengok macam mana,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd Amar berkata, untuk undi tidak percaya ia perlu dibawa ke Parlimen.

Bagaimanapun, katanya, Perdana Menteri mempunyai dua pilihan dari sudut Perlembagaan sekiranya betul-betul sudah kehilangan sokongan ahli Parlimen.

Katanya, dua pilihan itu ialah sama ada Perdana Menteri perlu meletakkan jawatan atau menghadap Yang di-Pertuan Agong dan mendapatkan nasihat supaya Parlimen dibubarkan.

Artikel Berkaitan:

“Sebelum ini pun Anwar beritahu yang dia sudah cukup bilangan ahli Parlimen. Ingat tak peristiwa naik bas beramai-ramai ke Istana Negara yang dia beritahu sudah cukup bilangan, tetapi yang berlaku, tidak cukup angka.

“Begitu juga hari ini, kita tunggulah. Takut-takut terjadi macam itu pula. Isytihar tetapi tidak cukup sokongan, “ katanya.

Terdahulu, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa bahawa beliau kini mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan yang baharu.

Malah Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menegaskan bahawa majoriti yang diperoleh adalah konklusif dan bukannya majoriti tipis.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar dakwa bakal tubuh kerajaan baharu