X

Kindly register in order to view this article
!

RM4.2 juta bina rumah asnaf

Syed Ibrahim (tiga dari kiri) menyerahkan replika cek zakat perniagaan Agrobank kepada Zulkifle (tiga dari kanan) di Maik semalam.
A
A

KOTA BHARU - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) menerima wang ihsan sebanyak RM4.2 juta bagi membantu menyediakan kediaman baharu kepada golongan asnaf di negeri ini.

Timbalan Yang Dipertuanya, Zulkifle Ab Rahman berkata, peruntukan tambahan berkenaan diterima minggu lalu selepas Maik membuat permohonan dana tambahan kepada Kementerian Kewangan untuk pembinaan 80 rumah yang berada dalam senarai menunggu.

Menurutnya, projek membina rumah bernilai RM48,000 sebuah dilengkapi dengan tiga bilik telah bermula sejak 16 tahun lalu lagi dan sentiasa mendapat permohonan daripada rakyat yang memerlukan.

“Alhamdulillah dengan peruntukan yang diterima ini, semua mereka yang berada dalam senarai menunggu rumah kita dapat membina sepenuhnya dan dijangka siap pada tahun hadapan.

“MAIK mengambil maklum kesusahan yang dihadapi oleh rakyat dan menerusi senarai daripada Ketua Jajahan jugalah kami telah membina sebanyak 160 buah rumah untuk asnaf setahun melibatkan 10 jajahan di negeri ini,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, beliau menerima penyerahan zakat perniagaan bernilai RM142,773 daripada Agrobank dan mengadakan perbincangan kerjasama strategik Agrobank di Maik hari ini.

Zulkifle (tiga dari kanan) menerima gegantung dari Agrobank sebagai gimik perasmian Agrobank menjadi wakil kutipan zakat Maik di pejabat Maik semalam.
Zulkifle (tiga dari kanan) menerima gegantung dari Agrobank sebagai gimik perasmian Agrobank menjadi wakil kutipan zakat Maik di pejabat Maik semalam.

Zakat berkenaan diserahkan oleh Pengarah Wilayah Agrobank Kelantan dan Terengganu, Syed Ibrahim Syed Mohd Al-Mashor.

Pada majlis sama, turut diadakan pelancaran Agrobank sebagai wakil kutipan zakat Maik.

Dalam pada itu, Zulkifli turut berharap supaya jumlah kutipan zakat di negeri ini akan terus meningkat untuk membantu penerima yang layak di negeri itu.

Menurutnya, bagi meningkatkan jumlah kutipan zakat, Maik juga turut mengadakan promosi dengan menggalakkan kakitangan kerajaan negeri ini membuat pembayaran zakat menerusi potongan gaji.

Katanya, menerusi kutipan wang zakat itu juga, Maik membantu mereka yang tidak berkemampuan untuk melanjutkan pengajian di dalam dan luar negara termasuk pelajar miskin di sekolah-sekolah menerusi Jabatan Pendidikan Kelantan serta Yayasan Islam Kelantan.

“Pada tahun lepas sahaja sekurang-kurangnya RM40 juta dibelanjakan untuk membantu pendidikan mereka yang memerlukan.

“Oleh itu, Maik mengajak orang ramai untuk membuat pembayaran zakat menerusi Maik kerana wang inilah kami akan gunakan sebaik mungkin untuk diberikan kepada golongan yang amat memerlukan,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!