Penduduk bimbang tragedi berulang

Keadaan kereta milik Noor Hayati terangkat akibat terkena akar pokok yang tumbang. Gambar bawah: Keadaan pokok menghempap rumah penduduk.
Keadaan kereta milik Noor Hayati terangkat akibat terkena akar pokok yang tumbang. Gambar bawah: Keadaan pokok menghempap rumah penduduk.
A
A
A

SEPANG - Penduduk di sekitar Desa Pinggiran Putra di sini bimbang sekiranya kejadian pokok tumbang akibat angin kuat yang menghempap rumah dan kenderaan milik mereka semalam berulang.

Salah seorang penduduk, Mohd Pauzi Mohamad berkata, insiden berkenaan dikhuatiri berulang berikutan fasa peralihan monsun yang dijangka bermula esok sehingga November depan.

Menurutnya, bagi mengelakkan insiden berkenaan berlaku, Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) perlu lebih kerap memotong dahan pokok yang berusia.

"MPSepang ada buat (potong dahan pokok) tetapi jarang- jarang sekali," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Desa Pinggiran Putra di sini hari ini.

Menceritakan kejadian semalam, isteri Mohd Pauzi, Noor Hayati Suib yang juga seorang penjawat awam berkata, dia mengetahui insiden berlaku selepas menerima panggilan daripada jiran.

MPS sedang melaksanakan kerja-kerja pembersihan dengan mengalihkan pokok tumbang di kawasan tersebut sejak 5 petang semalam.
MPS sedang melaksanakan kerja-kerja pembersihan dengan mengalihkan pokok tumbang di kawasan tersebut sejak 5 petang semalam.

"Sekitar jam 4.40 petang, saya segera pulang ke rumah selepas jiran memaklumkan kereta saya yang diparkir di hadapan rumah terangkat akibat terkena akar pokok yang tumbang.

"Hari ini saya mengambil cuti untuk melihat sendiri kereta dan motosikal terlibat dialihkan oleh MPSepang sebelum dihantar ke bengkel," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di lokasi mendapati MPSepang sedang pergiat melakukan kerja-kerja pembersihan dengan mengalihkan pokok tumbang di kawasan tersebut sejak 5 petang semalam.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) dalam kenyataannya berkata, hujan lebat, petir dan angin kencang lazimnya berlaku dalam masa singkat pada fasa peralihan monsun.

Ia boleh mengakibatkan banjir kilat serta kerosakan struktur tidak kukuh.