Pusat e-sukan khas untuk belia akan diwujudkan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SANDAKAN – Sebuah pusat sukan elektronik (e-sukan) akan diwujudkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manila apabila calon mewakili Parti Cinta Sabah (PCS), Sahidzan Ag Salleh berjaya diberi mandat rakyat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Sahidzan yang bertanding di kerusi baharu itu akan dicabar lima calon lain daripada Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), Parti Warisan Sabah (Warisan), Barisan Nasional (BN) dan Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu.

Beliau berkata, pihaknya akan turut mewujudkan sebuah akademi sukan bagi mencungkil bakat baharu sebagai pelapis atlet sukan negara dibawa manifestonya menerusi pembangunan sukan DUN Sungai Manila.

“Selain itu, saya juga berhasrat untuk menaik taraf Pekan Muhibah untuk menjadikan ia sebuah bandar satelit di kawasan ini dengan menyediakan lebih banyak kemudahan perbankan, stesen minyak dan terminal bas setempat.

“Tidak lupa juga kepada kemudahan asas seperti jaringan jalan raya, jalan pekebun kecil, bekalan air bersih, elektrik dan capaian jalur lebar termasuk mahu membina sebuah jambatan konkrit yang menghubungkan antara Kampung Lalasun dan Tanjung Kampung Pisau,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya turut menitikberat beberapa perkara lain yang mempunyai hubungkait dalam isu permasalahan rakyat setempat menerusi manifestonya.

“Apa yang pasti, saya akan meneruskan program bantuan asas koronavirus (Covid-19) sehingga tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana saya faham mengenai permasalahan penduduk.

“Tidak lupa juga kita akan menganjurkan acara tahunan Festival Seni di kawasan ini bagi penggiat seni di seluruh Malaysia bagi menunjukkan kebudayaan masing-masing,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Sahidzan berkata, pihaknya juga mahu terus memperkasa hub pendidikan dan kemahiran belia.

“Menerusi hub pendidikan ini, kita akan mewujudkan akademi seni, pusat latihan dan pendidikan tahap tinggi dalam pelbagai disiplin.

“Sudah pasti juga, sektor ekonomi akan turut dipertingkatkan dengan menjadikan Sungai Manila sebagai sebuah hub pertanian di Sandakan termasuk menjadikan Pekan Muhibah sebagai pusat pengumpulan dan pemasaran produk pertanian serta perikanan di DUN ini,” katanya.