Calon LDP DUN Tanjung Keramat fokus selesai isu perparitan

Faezahwaty (berdiri, empat dari kanan) bersama antara peserta yang menyertai Pertandingan Futsal dan E-Sukan di perkarangan My Futsal Kampung Ulu Putatan kelmarin.
Faezahwaty (berdiri, empat dari kanan) bersama antara peserta yang menyertai Pertandingan Futsal dan E-Sukan di perkarangan My Futsal Kampung Ulu Putatan kelmarin.
A
A
A

PUTATAN - Isu parit tersumbat yang menjadi punca banjir kilat di Tanjung Keramat mendapat perhatian calon Parti Liberal Demokratik (LDP) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat mewakili LDP, Faezah Abdul Mohamed Ibnu berkata, beliau akan cuba mencari jalan penyelesaian apabila diberi mandat rakyat di kawasan berkenaan selepas 26 September ini.

“Kita sudah menghadapi isu perparitan dan banjir ini sejak dari kerajaan terdahulu. Namun apa yang saya boleh katakan, saya akan berusaha agar masalah ini dapat diatasi dengan sebaiknya apabila berjaya memenangi kerusi baharu ini nanti.

“Berdasarkan tinjauan juga, antara kawasan yang sering mengalami banjir ialah di Sabindo dan kawasan perparitan berhampiran Lok Kawi. Saya difahamkan juga masalah banjir ini timbul akibat pembinaan Pan Borneo,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pertandingan Futsal dan E-Sukan di perkarangan My Futsal Kampung Ulu Putatan di sini kelmarin.

Ketika ditanya mengenai saingan di DUN Tanjung Keramat, Faezahwaty berkeyakinan untuk memperoleh sokongan padu daripada rakyat di kawasan berkenaan seterusnya memenangi kerusi baharu itu.

“Saya adalah muka baharu dalam arena politik. Sepanjang kempen saya rasa bersyukur apabila sambutan dari rakyat amat menggalakkan.

“Mereka menerima baik dan yakin untuk saya menggalas tugas tanggungjawab sebagai wakil rakyat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Faezahwaty berkata, golongan belia juga merupakan antara platform terbaik bagi mencungkil bakat baharu dalam arena sukan.

Katanya, penganjuran pelbagai sukan termasuk Futsal dan E Sukan dilihat mampu memberi pendedahan kepada pengalaman baharu golongan terbabit.

“Selain mencungkil bakat-bakat baharu yang boleh diketengahkan ke persada yang lebih tinggi termasuk peringkat negeri, nasional dan antarabangsa, sukan itu mampu mempromosi aktiviti sihat, sekali gus mengelak para belia terjebak dengan gejala yang tidak diingini.

“Acara sukan seumpama itu juga mampu menjadi landasan untuk menyatupadukan hubungan kaum melibatkan masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata, lebih banyak aktiviti memperkasakan pembangunan belia akan dilaksanakan di kawasan itu jika diberi mandat menjadi wakil rakyat DUN Tanjung Keramat.