X

Kindly register in order to view this article
!

Bekas penolong pengarah SME Corp didakwa terima suapan

Tertuduh (tengah) ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas dakwaan menerima suapan bernilai RM29,700 pada 2015 hingga 2018.
A
A

KUALA TERENGGANU - Bekas Penolong Pengarah SME Corp Terengganu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan menerima suapan bernilai RM29,700 pada 2015 hingga 2018.

Tertuduh, Halimah Musa Brahim, 42, berdepan empat pertuduhan yang didakwa dilakukan pada 2015, 2016, 2017 dan 2018.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan yang dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Jamaluddin Mat.

Bagi semua pertuduhan, Halimah didakwa menggunakan jawatan sebagai pegawai badan awam untuk mendapat suapan dengan menyokong pengesahan kerja pada perakuan penerimaan perkhidmatan/bekalan bagi kerja pembersihan pejabat SME Corp Terengganu oleh Syarikat NDZ Creative Resources berjumlah RM29,700.

Dia dituduh melakukan empat kesalahan itu di Pejabat SME Corp Malaysia Terengganu antara 1 Oktober 2015 hingga 12 Ogos 2018 mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nor Hamizah Ghazali menawarkan jaminan berjumlah RM40,000 iaitu RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di Ibu Pejabat SPRM sebulan sekali.

Peguam Mohd Fadhly Yaacob yang mewakili tertuduh memohon mahkamah memberikan jaminan sekitar RM10,000 bagi semua pertuduhan atas alasan keluarga tertuduh hanya dapat mengumpul wang jaminan sebanyak RM15,000.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di Ibu Pejabat SPRM Kuala Lumpur sebulan sekali sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes itu pada 1 November depan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!