X

Kindly register in order to view this article
!

Anwar buat pengumuman penting tengah hari ini

ANWAR
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual akan membuat satu pengumuman penting dalam sidang akhbar pada jam 12 tengah hari ini.

Terdapat spekulasi bahawa Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu berjaya mengumpulkan sokongan ahli Parlimen untuk mendapatkan majoriti di Parlimen.

Sumber terdekat Anwar juga mengesahkan perkara itu seperti dilaporkan portal Malaysiakini, namun sumber terbabit enggan menyatakan jumlah sokongan atau butiran mengenainya buat masa ini.

"Tetapi (ini adalah) majoriti besar," katanya.

Tidak jelas siapa berpihak kepada Anwar, tetapi spekulasi mengatakan bahawa ia tidak termasuk kumpulan daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) diasaskan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad atau Parti Warisan Sabah (Warisan).

Sebaliknya, Anwar mungkin mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen UMNO.

Sumber PKR juga mengatakan bahawa beliau mungkin mendapat sokongan daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Terdapat juga khabar angin bahawa Ahli Parlimen Port Dickson itu mungkin akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Semalam Yang di-Pertuan Agong dilaporkan sedang menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), tetapi keadaan baginda tidak membimbangkan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula dilapor masih berada di Semenanjung namun dijadual akan berada di Kota Kinabalu, Sabah malam ini.

Pada masa ini, PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) memiliki 91 kerusi.

Warisan, Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Pejuang mempunyai 15 kerusi, manakala dua anggota Parlimen dari PSB dan Anggota Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga tidak berpihak kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Gabungan blok pembangkang sekarang ini mempunyai 109 kerusi.

Sekiranya Anwar mendapat sokongan daripada GPS, ini bermakna mereka mempunyai 117 kerusi dengan majoriti enam kerusi.

Bagaimanapun, sekiranya Anwar tidak mendapat sokongan Warisan dan Pejuang, maka beliau masih boleh membentuk kerajaan dengan 112 kerusi jika mendapat sokongan PSB dan Syed Saddiq.

Jika tidak, Presiden PKR itu mesti menarik sokongan ahli Parlimen daripada PN.

Tidak kira sama ada beliau mempunyai majoriti atau tidak, Perlembagaan Persekutuan meletakkan kuasa di tangan Yang di-Pertuan Agong untuk memutuskan sama ada baginda akan meminta Perdana Menteri yang kehilangan sokongan untuk mengundurkan diri atau membubarkan Parlimen.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!