Hari Ozon 2020 angkat tema ‘Ozon untuk Kehidupan’

Norlin Jaafar menjelaskan mengenai aktiviti dan program yang dirancang oleh JAS sempena Hari Ozon Sedunia 2020 ketika wawancara khas di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
Norlin Jaafar menjelaskan mengenai aktiviti dan program yang dirancang oleh JAS sempena Hari Ozon Sedunia 2020 ketika wawancara khas di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

TANGGAL 16 September setiap tahun ditetapkan sebagai Hari Ozon Sedunia oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi mengingatkan seluruh penduduk dunia akan kepentingan ozon kepada kehidupan bumi.

Ikuti temu bual Sinar Harian bersama Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Norlin Jaafar yang memperincikan mengenai Sambutan Hari Ozon Sedunia Peringkat Kebangsaan pada tahun ini.

SINAR HARIAN: Apakah tema sambutan Hari Ozon Sedunia 2020?

NORLIN: Tema yang ditetapkan oleh pihak United Nations Environment Programme (UNEP) untuk tahun 2020 ialah Ozone For Life atau ‘Ozon Untuk Kehidupan’ dengan slogan ‘35 Tahun Perlindungan Lapisan Ozon’. Ia mencerminkan usaha kolektif semua negara parti kepada Konvensyen Vienna dan Protokol Montreal dalam memulihara lapisan ozon sejak penubuhan Konvensyen Vienna pada 1985.

Mengapakah lapisan ozon sangat penting kepada kehidupan muka bumi?

Lapisan ozon yang terletak di lapisan Stratosfera iaitu kira-kira 15 hingga 30 kilometer dari permukaan bumi berfungsi untuk menyerap sinaran ultra ungu (UV) berbahaya supaya tidak memasuki ruang dan permukaan bumi.

Pendedahan kepada sinaran UV secara berlebihan boleh mengakibatkan penyakit berbahaya seperti barah kulit, sakit mata dan melemahkan sistem ketahanan badan selain memberi kesan terhadap rantaian makanan dan seterusnya mengganggu ekosistem bumi.

Punca utama penipisan lapisan ozon ialah penggunaan bahan kimia secara berlebihan seperti Kloroflurokarbon (CFC), Halon, Karbon Tetraklorida (CTC), Metil Bromida (MBr) dan Hidroklorofluorokarbon (HCFC) yang merupakan bahan utama ozon. Kesemua bahan ini dikenali sebagai Bahan Pemusnah Ozon (BPO).

Artikel Berkaitan:

Apakah badan antarabangsa yang mengawal BPO?

Di peringkat antarabangsa, penggunaan BPO dikawal di bawah Perjanjian Protokol Montreal iaitu perjanjian antarabangsa yang ditubuhkan di bawah Konvensyen Vienna pada tahun 1987. Sebanyak 197 negara telah menjadi parti kepada Protokol Montreal yang bertanggungjawab untuk mengurangkan atau menghapuskan pengeluaran dan penggunaan bahan yang menyumbang kepada penipisan ozon.

Negara kita juga merupakan parti kepada Protokol Montreal sejak tahun 1989. Persidangan Protokol Montreal diadakan setiap tahun dan Kementerian Alam Sekitar dan Air merupakan National Focal Point bagi Protokol Montreal.

Apakah langkah yang diambil untuk menangani isu ini?

Sebagai negara parti kepada Protokol Montreal, Malaysia menerima bantuan kewangan daripada Tabung Pelbagai Hala Protokol Montreal dan bantuan teknikal bagi membantu pihak industri untuk menghapuskan BPO dalam sektor masing-masing. Antara kejayaan negara adalah menghentikan pengimportan Klorofluorokarbon (CFC), Halon dan Karbon Tetraklorida pada 1 Januari 2010.

Usaha perlindungan ozon ini diteruskan dengan sasaran untuk menghapuskan penggunaan Hidrokloroflurokarbon (HCFC) sepenuhnya pada tahun 2040 secara berperingkat mulai 2013.

Norlin Jaafar
Norlin Jaafar

Bagi mencapai sasaran itu, kerajaan merangka Pelan Pengurusan HCFC secara sistematik di mana sasaran penghapusan yang ditetapkan di bawah Protokol Montreal adalah 10 peratus bagi tahun 2015, 35 peratus bagi tahun 2020, 62.5 peratus bagi tahun 2025, 97.5 peratus bagi tahun 2035 dan seterusnya larangan mutlak ke atas penggunaan HCFC pada tahun 2040.

Ini berdasarkan garis dasar penggunaan HCFC bagi Malaysia iaitu 515.8 ODPT. Malaysia berjaya menghapuskan penggunaan bahan HCFC sebanyak 58.5 peratus sejak Pelan Pengurusan Penghapusan HCFC (HPMP) dilaksanakan pada tahun 2012 dan mencapai peratusan lebih tinggi daripada sasaran yang ditetapkan iaitu 35 peratus bagi tahun 2020.

Apakah rahsia kejayaan negara mencapai peratus penghapusan BPO yang tinggi khususnya HCFC?

JAS merupakan agensi pelaksana yang menjalankan aktiviti dan projek penghapusan penggunaan BPO. Bagi mencapai kejayaan tersebut, kita melaksanakan beberapa program dan strategi termasuk menguatkuasakan undang-undang seperti pelaksanaan Sistem Approved Permit (AP) dan Sistem Kuota berdasarkan garis dasar HCFC iaitu purata penggunaan nasional tahun 2009 dan 2010.

AP dilaksanakan menggunakan sistem e-Permit yang dikuatkuasakan sejak 2013. Selain itu, pindaan akta sedia ada untuk mengawal pengimportan, penggunaan, pengilangan, pemasangan dan pengendalian produk mengandungi HCFC telah dibuat serta diwartakan pada 1 Mac 2020 dalam Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Peraturan Refrigeran) 2020, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

JAS juga membantu pihak industri dari segi memudahcara bantuan teknikal penukaran teknologi daripada menggunakan BPO kepada bahan yang lebih mesra ozon iaitu seperti dengan menukar penggunaan BPO seperti HCFC 141B kepada Cyclopentane dalam sektor pembuatan busa. Kesemua usaha dan kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat dengan pelbagai pihak.

Apakah program yang dirancang sempena dengan Hari Ozon 2020?

Pelbagai aktiviti atau program dirancang khususnya aktiviti kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan lapisan ozon. Ada antara program dimulakan sejak Ogos seperti bengkel bersama pegawai dan kakitangan JAS mengenai Prosedur Tetap Operasi Pengurusan Refrigeran yang membincangkan secara terperinci mengenai langkah dan tindakan yang perlu diambil dalam

melaksanakan penguatkuasaan pengurusan refrigeran bagi Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Pengurusan Refrigeran) 2020.

Aktiviti lain ialah pertandingan infografik, video berdurasi pendek dan e-poster berkaitan lapisan ozon serta ‘ozone climate

benefit’. Kami juga menganjurkan program bersama institusi pengajian tinggi dan institusi teknikal awam, sesi ujian sistem pendingin hawa kenderaan selain sesi ceramah serta perkongsian maklumat berkaitan perlindungan lapisan ozon melalui sesi webinar.

Kemuncak acara ialah Majlis Sambutan Hari Ozon Sedunia Peringkat Kebangsaan yang akan dirasmikan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini di Putrajaya.

Sempena sambutan itu, 10 syarikat pembuatan busa yang berjaya melengkapkan projek penukaran teknologi dalam tempoh dua tahun pertama pelaksanaan HPMP Peringkat 2 akan menerima sijil penghargaan bagi komitmen mereka dalam penggunaan teknologi mesra ozon.

Apakah harapan puan khususnya dalam aspek pemuliharaan lapisan ozon?

Warga bumi yang prihatin seharusnya bersama kerajaan dalam menjayakan usaha pemuliharaan lapisan ozon. Antara peranan yang boleh dimainkan ialah mengurangkan atau menghentikan penggunaan produk berasaskan CFC dan HCFC, misalnya tidak menggunakan bekas polisterin mengandungi bahan CFC.

Selain itu, rakyat Malaysia digalakkan untuk memilih sistem penyaman udara dan penyejukan yang menggunakan refrigeran alternatif mesra ozon. Banyak penyaman udara yang lebih mesra ozon seperti Refrigeran R-32 di pasaran semasa bagi menggantikan HCFC 22 atau R 22.

Faktor penentu kejayaan pemuliharaan ozon sebenarnya bergantung kepada sikap dan amalan rakyat Malaysia yang perlu sentiasa menerapkan dalam minda bahawa ia merupakan tanggungjawab kita bersama. Kerajaan berharap agar semua pihak, baik rakyat, pengusaha sektor industri dan pihak berkepentingan supaya dapat berganding bahu dalam menjayakan usaha pemuliharaan lapisan ozon.