Mulakan dengan RM1!

Setiap sen yang dibelanjakan rakyat mampu meningkatkan ekonomi negara.
Setiap sen yang dibelanjakan rakyat mampu meningkatkan ekonomi negara.
A
A
A

Tarikh 18 Mac 2020 telah mengubah senario ekonomi negara. Apabila diumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan pandemik koronavirus Covid-19, kehidupan kita secara keseluruhannya telah berubah 180 darjah.

Banyak perniagaan tiba-tiba jatuh merudum dan gulung tikar. Banyak syarikat yang terjejas terpaksa memberhentikan kakitangan kerana tidak mampu lagi beroperasi.

Tindakan mereka bukan kerana suka-suka atau menangguk di air yang keruh. Keadaan ekonomi semasa telah memaksa tindakan itu diambil. Ekonomi negara turut terkesan apabila mengalami penguncupan sebanyak 17.1 peratus pada suku kedua tahun ini, sekali gus menjejaskan aktiviti ekonomi secara keseluruhan.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) melaporkan kehilangan pekerjaan di negara ini meningkat sebanyak 42 peratus untuk suku pertama 2020.

Kadar pengangguran pula dijangka mencecah empat peratus pada 2020 berbanding 3.2 peratus semasa krisis kewangan Asia pada 1997 dan 3.7 peratus ketika kegawatan ekonomi pada 2018. Fakta-fakta ini jelas menunjukkan perubahan mendadak yang berlaku ketika ini.

Kuasa di tangan rakyat untuk bantu rancakkan ekonomi dosmetik.
Kuasa di tangan rakyat untuk bantu rancakkan ekonomi dosmetik.

Apabila negara mengumumkan kawalan pemulihan, rakyat khususnya golongan peniaga sudah mula tersenyum. Makcik Kiah sudah boleh berniaga pisang goreng dan kuih-muih di tepi jalan. Premis-premis peniagaan sudah semakin rancak beroperasi. Namun, isu diberhentikan kerja atau gaji pekerja dipotong masih terus berlaku. Kenapa?

Sebelum berlaku pandemik dan PKP, makcik Kiah boleh mengupah dua pekerja untuk bantunya di gerai. Gerai makcik Kiah popular dan sudah lama tular di media sosial. Pembeli sanggup beratur panjang untuk beli pisang goreng panas dan kuih-muih. Tetapi sekarang, pembeli yang datang boleh dikira dengan jari. Jadi, makcik Kiah terpaksa bergerak sendiri, tak mampu lagi membayar gaji.

Artikel Berkaitan:

Itu baru kes makcik Kiah. Bayangkan senario yang perlu dihadapi peniaga-peniaga lain dan syarikat-syarikat besar yang terpaksa membayar sewa premis, bil-bil utiliti, gaji pekerja yang mencecah ribuan angka, sedangkan stok barangan tidak terjual.

Apa daya mereka untuk mengekalkan bilangan pekerja sedia ada? Apa pula kuasa kita sebagai rakyat Malaysia bangkit membantu merancakkan semula ekonomi negara?

Berbelanja RM1 secawan kopi di gerai tepi jalan atau sanggup bayar RM10 untuk secawan kopi di San Francisco Coffee tetap membawa makna. Berbeza cita rasa tiada salahnya, apabila anda berbelanja secara tidak langsung telah menyumbang kepada ekonomi negara!

Ubah gaya hidup

“Orang ramai perlu mengubah gaya hidup dan berbelanja dengan lebih berhemah.” - Dr Barjoyai Bardai
“Orang ramai perlu mengubah gaya hidup dan berbelanja dengan lebih berhemah.” - Dr Barjoyai Bardai

Di sebalik kesukaran ini, ada perkara yang boleh diambil iktibar dan pengajaran untuk diri sendiri serta keluarga terutama dalam soal pengurusan kewangan, kata Pakar Ekonomi daripada Universiti Tun Abdul Razak, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai.

Menurutnya, tidak kira golongan berada atau pertengahan, mereka perlu mengubah gaya hidup lebih sederhana dan berbelanja mengikut keperluan untuk meneruskan kehidupan.

Beliau tidak menolak kebanyakan pengguna di Malaysia lebih mementingkan jenama berbanding kualiti, lebih-lebih lagi produk tempatan. Justeru, salah faham terhadap kualiti produk Malaysia perlu diperbetulkan dengan menyahut seruan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM).

Rakyat Malaysia turut diseru melakukan perbelanjaan berhemah dengan mengutamakan barangan tempatan dan produk Malaysia sepanjang tempoh dan pasca PKP bagi membantu menggerakkan ekonomi domestik negara yang telah menurun lebih 28 peratus.

“Negara kita terlalu bergantung kepada keluaran import apabila lebih 80 peratus barangan yang kita guna datang dari luar negara. Produk makanan contohnya, kita berbelanja kira-kira RM80 bilion setiap tahun untuk mengimport.

Orang ramai disarankan supaya mengutamakan produk Malaysia dalam setiap pembelian.
Orang ramai disarankan supaya mengutamakan produk Malaysia dalam setiap pembelian.

"Kita perlu kurangkan kebergantungan produk import ini dengan memfokuskan barangan keluaran sendiri. Kenapa taksub kepada produk import sedangkan produk tempatan jauh lebih baik kualitinya. Malah, menjadi tanggungjawab kita memberi sokongan sepenuhnya kepada pengusaha dan pengeluar produk kita.

“Kita juga perlu tonjolkan pengeluar tempatan supaya pengguna muda terutamanya lebih menghargai produk tempatan. Ia harus dilakukan dengan jelas dengan mesej yang tepat melalui kempen KBBM ini.

"Kita perlu berbangga dengan barangan Malaysia kerana kita bermatlamat untuk menggerakkan ekonomi domestik dan dengan membeli inilah bukti sumbangan kita kepada negara,” katanya.

Beliau yakin, dengan membeli barangan buatan tempatan akan memberi impak positif kepada ekonomi domestik dan pembangunan industri tempatan, sekali gus mampu memberi pekerjaan kepada rakyat Malaysia.