Arab Saudi benar ibadah umrah bermula 4 Oktober ini

Arab Saudi akan membenarkan semula ibadah umrah untuk umat Islam bermula 4 Oktober depan, kata Kementerian Dalam Negeri
Arab Saudi akan membenarkan semula ibadah umrah untuk umat Islam bermula 4 Oktober depan, kata Kementerian Dalam Negeri
A
A
A

RIYADH - Arab Saudi akan membenarkan semula ibadah umrah untuk umat Islam bermula 4 Oktober depan, kata Kementerian Dalam Negeri, semalam.

Negara beraja tersebut telah menggantung ibadah itu pada Mac lalu tetapi membenarkan ibadah haji berlangsung dalam bilangan yang terhad sekali gus menjejaskan hasrat berjuta-juta umat Islam di seluruh dunia kerana bimbang Covid-19 tersebar ke tempat-tempat suci umat Islam.

Pada peringkat pertama, kira-kira 6,000 warganegara dan penduduk di dalam negara itu akan dibenarkan untuk melakukan ibadah umrah setiap hari mulai 4 Oktober depan, kata kementerian tersebut dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Saudi Press Agency (SPA).

Umat Islam dari luar Arab Saudi akan dibenarkan mengerjakan ibadah umrah bermula 1 November depan apabila bilangan jemaah akan ditingkatkan kepada 20,000 orang pada setiap hari, kata kementerian tersebut.

Menurut kementerian itu, ibadah tersebut akan dibenarkan untuk menerima jemaah dalam jumlah yang besar selepas pandemik Covid-19 berakhir.

Keputusan untuk membenarkan semula ibadah umrah dibuat selepas negara beraja itu mengendalikan ibadah haji dengan jumlah jemaah paling kecil dalam sejarah sejak Julai lalu dengan hanya kira-kira 10,000 umat Islam dibenarkan untuk mengerjakannya.

Arab Saudi berusaha untuk menangani kadar jangkitan Covid-19 yang kini meningkat kepada lebih 330,000 kes iaitu yang tertinggi di rantau Teluk dan dengan lebih 4,500 kematian.

Namun, negara itu melaporkan jumlah kes sembuh yang tinggi yang melepasi 312,000 pesakit semalam.

Artikel Berkaitan:

Pada minggu lalu, Arab Saudi melonggarkan sebahagian penggantungan penerbangan antarabangsa, enam bulan selepas larangan perjalanan dilaksanakan ekoran wabak tersebut.