Faizal pacu Terengganu ke separuh akhir

Faizal membuktikan dirinya masih berbisa apabila meledak dua gol untuk membantu Terengganu mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Sabah - Foto Malaysian Hockey Confederation
Faizal membuktikan dirinya masih berbisa apabila meledak dua gol untuk membantu Terengganu mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Sabah - Foto Malaysian Hockey Confederation
A
A
A

BEKAS penyerang kebangsaan, Faizal Saari membuktikan bahawa beliau masih berbisa apabila meledak dua gol untuk membantu Terengganu mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Sabah pada saingan suku akhir Piala Tun Abdul Razak, hari ini.

Terengganu yang turun selaku pasukan pilihan, bagaimanapun terpaksa menunggu sehingga minit ke-19 untuk membuka jaringan menerusi Faizal walaupun menguasai separuh masa pertama perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional di sini.

Walaupun ketinggalan satu gol, ia tidak mematahkan semangat Sabah untuk bangkit dengan serangan bertali arus selepas rehat dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut pemain meningkat naik, Shello Silverius pada minit ke-52.

Namun, Faizal meranapkan impian Sabah yang memburu kejuaraan pertama sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1963, menerusi pukulan padu selang dua minit kemudian untuk kekal dalam pemburuan kejuaraan ketiga selepas menjulang piala itu pada 2012 dan 2016.

Jurulatih Terengganu, Tai Beng Hai berkata kegagalan pemainnya menyempurnakan banyak peluang pada awal permainan memberi peluang kepada Sabah untuk bangkit memberi tentangan sengit kepada mereka.

“Memang dari awal kita tidak ambil mudah pasukan Sabah yang terdiri daripada pemain Sukma (Sukan Malaysia). Mereka muda dan tahap kecergasan tinggi, jadi mereka boleh beri kejutan jika kita tak bersedia.

“Kita meramalkan perlawanan seterusnya juga akan sengit, jadi percaturan mesti betul dan kita mesti menyempurnakan peluang yang ada, kalau tidak susah,” katanya selepas perlawanan itu.

Pada aksi separuh akhir Khamis ini, Terengganu akan berdepan Pahang yang menyingkirkan juara bertahan, Melaka menerusi satu lagi kemenangan tipis 2-1.

Artikel Berkaitan:

Bekas pemain kebangsaan, Ismail Abu meletakkan Pahang di hadapan pada minit ke-18, sebelum Muhammad Firdaus Omar menyamakan kedudukan hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-35, namun jaringan melalui pukulan sudut penalti Muhammad Hafiz Mohd Zauri @ Mohd Zahari seminit kemudian cukup untuk membawa Pahang ke separuh akhir.

Jurulatih Pahang Mohd Sufian Mohamad memuji semangat juang pemainnya yang majoriti dibarisi pemain muda daripada Akademi Hoki Pahang yang dilancarkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 2013.

“Kita akan turun ke separuh akhir tanpa tekanan dengan bermain habis-habisan untuk lakar sejarah kerana rata-rata pemain baharu, berjiwa muda dengan semangat membara. Mereka bakal menjadi pemain utama pada masa depan,” katanya yang tekad membantu Pahang meraih gelaran pertama pada kejohanan itu.

Satu lagi perlawanan separuh akhir bakal menyaksikan pertembungan antara dua pasukan gergasi, iaitu Perak dan Kuala Lumpur.

Juara sembilan kali, Perak yang dibarisi oleh nama-nama besar, menewaskan Perlis 2-0 hasil jaringan padang Meor Muhammad Azuan Hassan pada minit ke-17 dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-56.

Pasukan paling cemerlang dalam saingan itu, Kuala Lumpur meneruskan buruan gelaran ke-20 dengan mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Juara 19 kali itu menjaringkan gol menerusi pukulan sudut Muhammad Shahril Saabah pada minit ke-18 dan 48, serta gol padang Danial Asyraf Abdul Ghani pada minit ke-21, manakala PDRM mengurangkan defisit menerusi jaringan padang Faizal Reza Mohd Noor pada minit ke-48. - Bernama