Bukan hanya salah Sathianathan

B. Sathianathan.
B. Sathianathan.
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Selangor (FAS) perlu melakukan rombakan dalam pasukan jika mahu memastikan Gergasi Merah kembali digeruni dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M).

Bekas pemain kebangsaan dan Selangor, Khalid Ali berkata, ketidakupayaan Selangor untuk memberikan cabaran dalam saingan Liga-M musim ini tidak harus dipersalahkan sepenuhnya kepada B Sathianathan yang dipecat oleh badan induk bola sepak negeri itu kelmarin.

Sebaliknya, beliau berkata, FAS perlu melihat secara menyeluruh apa yang berlaku dalam pasukan sebelum mengambil keputusan drastik memecat bekas pengendali skuad kebangsaan itu.

“Tetapi ia sudah menjadi lumrah dalam bola sepak. Apabila pasukan tewas, sudah tentu yang akan dipersalahkan adalah jurulatih.Kalau boleh dilihat balik, mungkin ada kekurangan kepada pemain dan beberapa faktor lain,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Kelmarin, FAS membuat keputusan memecat Sathianathan berkuatkuasa serta-merta selepas kekalahan 1-6 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim Sabtu lalu.

Mengulas lanjut, Khalid mengakui tidak terperanjat dengan pemecatan selepas kekalahan tersebut, apatah lagi timbul desakan daripada para peminat dan penyokong yang mahu Sathianathan disingkirkan.

“Pasukan yang Selangor lawan itu pun JDT yang macam saya cakap akan jadi juara sampai 10 tahun lagi. JDT telah pergi jauh daripada pasukan lain. Saya tak terkejut (Sathianathan dipecat) kerana semua menuding jari kepada jurulatih, lebih-lebih lagi kekalahan besar itu mungkin menjejaskan maruah Selangor.

“Pada masa sama, FAS seharusnya mencari cara untuk memastikan Selangor dapat jadi pencabar dalam tempoh terdekat. Dari segi pemain, kita kena tengok sesuai tak dengan pasukan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Khalid turut mahu FAS menyingkirkan sebilangan individu yang tidak profesional dalam persatuan tersebut yang dilihat menjadi masalah besar kepada prestasi Gergasi Merah.

“Saya berbangga kerana Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berjaya melakukan banyak perubahan dalam persatuan dan pasukan. Saya percaya dalam masa dua atau tiga tahun lagi, Selangor akan kembali menjadi sebuah pasukan pencabar dalam liga.

“Namun, masih ada dalam persatuan itu individu yang tidak profesional sama seperti yang berlaku dalam ahli jawatankuasa terdahulu. Perkara ini perlu diperbaiki sekiranya kita mahu melihat perubahan dalam pasukan Selangor,” tegasnya.