Di sebalik kisah Darshini

No Image Caption
A
A
A

PARA penentang pembelajaran tulisan jawi di sekolah patut berfikir dua kali kalau pun tidak berasa malu dengan pencapaian cemerlang M Darshini dalam mata pelajaran Tasawwur Islam.

Kisah pelajar perempuan sebuah sekolah di Kuala Lumpur itu tular selepas beliau berkongsi keputusan menakjubkan peperiksaan subjek tersebut yang diambilnya baru-baru ini.Dalam peperiksaan itu, Darshini mendapat 94 daripada 100 markah sekali gus menarik perhatian warganet termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang kemudian melawat pelajar itu di sekolahnya Jumaat lalu.

Pelajar Tingkatan Lima itu merupakan satu-satunya calon yang mengambil subjek itu dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Januari depan.

Bagi Darshini, kejayaan itu bukanlah kali pertama berlaku kerana beliau sentiasa mencatatkan keputusan A untuk setiap ujian yang diambilnya.

Remaja berketurunan India itu mengakui pada awalnya agak sukar untuk beliau memahami, mengingati dan membezakan misalnya antara nabi dan rasul tetapi dia kini sudah mengerti.

Beliau juga pernah mengikuti kelas tulisan jawi semasa di Tingkatan Satu dan Dua namun tidak mahir membaca atau menulis jawi.Menurut Darshini, beliau mengambil subjek itu kerana bercita-cita untuk menyambung pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tasawwur Islam merupakan subjek pilihan dalam peperiksaan SPM. Subjek itu antara lain membincangkan hal ehwal muamalah dan falsafah perundangan Islam yang meliputi fatwa, ijtihad, fikah serta hukum halal haram, wajib, sunat dan makruh.

Dengan kata lain, pelajar daripada agama lain tadi akan mempelajari inti pati ajaran agama Islam yang sebenar.

Artikel Berkaitan:

Ini berbeza dengan tulisan jawi. Walaupun pembencinya menyamakan tulisan jawi dengan bahasa Arab dan al-Quran, hakikatnya ia hanyalah sistem huruf, sama seperti huruf rumi yang digunakan sebagai perantara ilmu dan komunikasi.

Suatu ketika dulu, peniaga-peniaga bukan Melayu berlumba-lumba menggunakan tulisan jawi kerana itulah simbol komunikasi zaman tersebut. Sebab itulah kalau dilihat gambar pekan-pekan di Semenanjung Malaysia sekitar 1950-an, kedai-kedai kepunyaan orang Cina termasuk kedai pajak gadai menggunakan papan-papan tanda dalam tulisan jawi.

Darshini telah membuktikan pelajaran yang dipelajari di sekolah tidak sewenang-wenangnya dapat mengubah jati diri dan agamanya. Seperti yang dikatakan Darshini, ibunya tidak pernah menghalang sebaliknya memberi sokongan. “Saya hanya mahu menuntut ilmu, tidak lebih daripada itu,” katanya.

Perkara sama turut dilalui sebelum ini oleh seorang lepasan Diploma Undang-Undang dan Amalan Syariah daripada UIAM, Victoria Jayaseele Martin. Wanita itu memperoleh diploma tersebut ketika berusia 41 tahun pada 2004.

Beliau dilaporkan amat meminati perundangan Islam namun usaha terakhirnya untuk menjadi peguam syarie di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan ditolak oleh Mahkamah Persekutuan pada tahun 2016. Dalam keputusan sebulat suara, mahkamah tertinggi sivil itu memutuskan hanya umat Islam boleh diterima sebagai peguam syarie.Panel lima hakim yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif Md Raus antara lain berkata, peguam syarie yang menganut agama Islam adalah penting untuk membantu Mahkamah Syariah menegakkan undang-undang syariah dan konsep kepercayaan kepada Allah adalah kritikal bagi profesion itu.

Apa pun, Darshini dan Victoria adalah bukti di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Kedua-duanya juga patut menjadi teladan kepada pelajar Melayu-Islam yang adakalanya tidak mengambil berat Pendidikan Islam walaupun subjek itu berkait secara langsung dengan agama yang dianuti mereka.

* Zuki Pileh ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian