Warga kota diancam ‘pembunuh’ dari langit

No Image Caption
A
A
A

SEBAGAI salah seorang penduduk di Ampang, Selangor, Merak Jalanan memang kecut perut setiap kali melalui Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berdekatan Keramat dan Sungai Besi atau jalan raya di Pekan Ampang.

Merak Jalanan selalu terfikir bagaimana sekiranya bahan-bahan binaan projek Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) itu terjatuh dan lebih buruk terkena pula pengguna jalan raya yang berada di bawah.

Berbeza dengan pembinaan jalan raya biasa, lebuh raya bertingkat dibina dengan pengguna masih boleh melalui jalan raya di bawahnya ketika pembinaan sedang dilaksanakan.

Apatah lagi peristiwa pelbagai jenis peralatan pembinaan jatuh dari ‘langit’ bukan tidak pernah berlaku di Malaysia.

Antara yang paling Merak Jalanan ingati adalah apabila tayar KL Monorel seberat 14 kilogram jatuh terkena kepala seorang wartawan yang kebetulan lalu di bawah landasan. Akibat kejadian pada tahun 2002 itu, mangsa cedera parah dengan tengkoraknya retak di lapan tempat.

Itu belum dikira kejadian penunggang motosikal maut dihempap struktur binaan semasa melalui jalan raya di Pulau Pinang atau pemandu kereta maut dihempap kren tumbang di Selangor.Ternyata apa yang menjadi kerisauan Merak Jalanan itu akhirnya berlaku beberapa hari lalu, apabila seorang wanita nyaris maut selepas struktur konkrit SUKE jatuh menghempap kereta dipandunya di Sungai Besi.

Insiden itu sudah tentunya menimbulkan trauma pengguna memandangkan puluhan ribu warga Lembah Klang menggunakan MRR2 setiap hari.

Lebih menakutkan, sehari kemudian seorang lagi pemandu wanita cedera selepas keretanya dihempap besi menara kren di Cheras.

Artikel Berkaitan:

Kemalangan di kawasan pembinaan tidak boleh dipandang ringan. Siasatan rapi dan tindakan segera perlu diambil agar pihak pemaju lebih berhati-hati.