Kes jangkitan Covid-19 seluruh dunia meningkat

Kumpulan protes mengadakan bantahan terhadap sekatan dikenakan ke atas bar dan kelab malam di Malaga, Sepanyol. - Foto AFP
Kumpulan protes mengadakan bantahan terhadap sekatan dikenakan ke atas bar dan kelab malam di Malaga, Sepanyol. - Foto AFP
A
A
A

GENEVA - Pandemik koronavirus (Covid-19) semakin menular dengan cepat di seluruh dunia dengan lonjakan kes baharu pada minggu lalu kepada angka tertinggi dalam tempoh tujuh hari kepada hampir dua juta kes jangkitan.

Statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagaimanapun menunjukkan jumlah kematian baharu telah menurun.

Minggu lalu, kira-kira 37,700 kematian baharu direkodkan di seluruh dunia sekali gus menunjukkan penurunan sebanyak 10 peratus berbanding minggu sebelumnya.

Ia disebabkan oleh penurunan sebanyak 22 peratus kematian di Amerika dan sebanyak 16 peratus di Afrika.

Amerika yang terjejas teruk akibat pandemik itu masih menyumbang separuh daripada kes keseluruhan dan 55 peratus kematian global.

Penurunan angka kematian itu disebabkan oleh kes yang semakin menurun di Colombia, Mexico, Ecuador dan Bolivia.

Menerusi kemas kini global terbaharu lewat malam tadi, sebanyak 1.9 juta kes jangkitan baharu direkodkan di seluruh dunia sehingga Ahad lalu.

Agensi kesihatan PBB itu memaklumkan angka terbabit menandakan peningkatan sebanyak enam peratus berbanding seminggu sebelum itu dan merupakan jumlah kes tertinggi dalam tempoh tujuh hari sejak bermulanya pandemik tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Hampir kesemua rantau menyaksikan lonjakan kes baharu pada minggu lalu. Eropah dan Amerika masing-masing mencatatkan peningkatan 11 dan 10 peratus kes jangkitan baharu," jelas WHO.

Difahamkan, hanya Afrika melaporkan penurunan kes jangkitan baharu sebanyak 12 peratus berbanding seminggu sebelum itu. - AFP