Larangan berbasikal di lebuh raya demi keselamatan: Azisman

Azisman Alias
Azisman Alias
A
A
A

KUALA LUMPUR - Larangan aktiviti berbasikal di lebuh raya bertujuan mengelakkan penunggang terdedah kepada risiko yang membahayakan keselamatan diri serta pengguna jalan raya lain.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, penunggang basikal termasuk untuk tujuan riadah perlu menggunakan laluan yang lebih sesuai dengan keperluan mereka.

"Penunggang basikal yang ingin menjalankan aktiviti berkenaan perlu sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan demi keselamatan diri mereka serta pengguna jalan raya lain," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Azisman berkata, isu penggunaan basikal di lebuh raya kini sedang hangat diperkatakan oleh orang ramai terutama penggemar aktiviti berbasikal.

"Aktiviti itu hanya dilarang di lebuh raya, namun masih dibenarkan di jalan Persekutuan, jalan negeri, jalan bandaran dan lain-lain jalan," katanya.

Azisman menegaskan mana-mana individu yang gagal mematuhi papan tanda lalu lintas yang melarang berbasikal di lebuh raya adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Apabila disabitkan, boleh didenda tidak kurang RM300 dan tidak lebih RM2,000," katanya.

Artikel Berkaitan: