Dengar jeritan mangsa minta tolong

Mayat Muhammad Munzir Mustafa, 28, ditemui terapung di Jubakar Pantai, Tumpat pada jam 1.30 tengah hari tadi.
Mayat Muhammad Munzir Mustafa, 28, ditemui terapung di Jubakar Pantai, Tumpat pada jam 1.30 tengah hari tadi.
A
A
A

TUMPAT - Empat lelaki yang mencari kepah di kawasan beting kuala Jubakar Pantai di sini hari ini, sempat mendengar jeritan mangsa meminta pertolongan sebelum lelaki itu tenggelam dihanyutkan arus deras.

Mayat mangsa, Muhammad Munzir Mustafa, 28, ditemui terapung pada jam 1.30 tengah hari tadi kira-kira 300 meter dari lokasi terakhir dia dilihat.

Rakan mangsa, Hussin Hassan, 47, berkata, mereka berlima dari Wakaf Aik, Bachok datang ke beting kuala Jubakar Pantai untuk mencari kepah pada jam 8 malam.

Menurutnya, kira-kira jam 11 malam, air mulai pasang dan mereka semua sepakat untuk naik ke darat namun arus semakin deras.

"Ketika itu, saya terjatuh dan hanyut kira-kira 50 meter tapi sempat berpaut pada tong dan berjaya naik ke darat manakala rakan lain masih di beting.

“Tidak lama selepas itu, Munzir pula terjatuh dan dihanyutkan arus. Dia sempat berpegang pada tong namun tong itu terbalik. Dia tenggelam timbul sambil menjerit meminta tolong tetapi saya tidak dapat mencapainya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian hari ini.

Hussin berkata, penduduk kampung yang menyedari kejadian itu datang menyelamat tiga yang lain dan menghubungi talian kecemasan.

Sementara itu, isteri mangsa, Nik Nor Suhadaa Zuki, 26, berkata, malam tadi dia tergerak hati untuk menghubungi suaminya namun tidak meneruskannya kerana memikirkan suaminya sedang mencari kepah.

Artikel Berkaitan:

Katanya, suaminya itu bertolak dari rumah pada jam 5 petang dan dia pada mulanya meminta untuk ikut sama namun tidak dibenarkan.

“Dia memberitahu akan pulang jam 12 tengah malam tetapi pada jam 1 pagi, saya pula yang terima panggilan daripada bapa mentua memberitahu kejadian itu.

“Saya amat terkejut dan segera datang ke sini sejak semalam. Saya bersyukur mayat suami ditemui... Saya reda,” katanya sebak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintenden Ab Rashid Mat Daud berkata, operasi mencari dan menyelamat membabitkan 31 anggota melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

“Operasi bermula jam 10.30 pagi dan sebanyak tiga kali selaman dilakukan oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bomba dalam jarak sekitar 150 radius dari lokasi terakhir mangsa dilihat.

“SAR turut mendapat bantuan daripada nelayan dan penduduk kampung yang bersama-sama mencari dengan bot mereka,” katanya.