Bentuk kerajaan atau Lubnan terjerumus ke dalam 'neraka'

Aoun (kiri) dan Adib senada mengkritik penangguhan untuk menubuhkan kerajaan baharu di Lubnan. - Foto Agensi
Aoun (kiri) dan Adib senada mengkritik penangguhan untuk menubuhkan kerajaan baharu di Lubnan. - Foto Agensi
A
A
A

BEIRUT - Bentuk kerajaan atau Lubnan akan terjerumus ke dalam ‘neraka’.

Amaran tegas itu diberikan Presiden Lubnan, Michel Aoun selepas krisis politik di negara itu semakin buruk selepas lebih sebulan Beirut digemparkan dengan insiden letupan dahsyat pada 4 Ogos lalu.

“Kita berdepan dengan krisis pembentukan kerajaan yang sepatutnya tidak berlaku. Kita sepatutnya tidak mensia-siakan waktu selepas tragedi yang berlaku,” tegasnya menerusi ucapan disiarkan stesen TV semalam.

Beliau bagaimanapun masih meletakkan harapan dan berharap keajaiban akan berlaku untuk menyelesaikan isu berkaitan pembentukan kerajaan baharu tersebut.

Sementara itu, Perdana Menteri yang baru dilantik, Mustapha Adib menggesa parti politik dan puak yang bersaing supaya membantunya untuk menubuhkan Kabinet bebas bagi menyelamatkan negara tersebut.

“Sebarang penangguhan akan mengeruhkan lagi situasi di negara ini. Kesengsaraan yang dihadapi rakyat Lubnan memerlukan kerjasama semua pihak untuk memudahkan pembentukan kerajaan bebas,” ujarnya lagi.

Pada akhir bulan lalu, Aoun meminta Duta Lubnan ke Jerman terbabit untuk menubuhkan kerajaan baharu, namun masih gagal dilaksanakan hingga kini berikutan persaingan sengit antara blok Parlimen.

Krisis ekonomi yang dihadapi Beirut diburukkan lagi dengan kejadian letupan berpunca daripada simpanan 2,750 tan ammonium nitrat di pelabuhan di Beirut tersebut yang meragut 190 nyawa manakala kira-kira 6,500 yang lain cedera.

Artikel Berkaitan:

Ia turut menyebabkan sehingga 300,000 penduduk hilang tempat tinggal dan kemusnahan yang teruk di kawasan sekitar ibu negara.

Insiden itu juga menandakan ancaman terburuk terhadap kestabilan Lubnan sejak perang saudara pada 1975-90 yang mencetuskan protes ganas terhadap pentadbiran bekas Perdana Menteri, Hasan Diab yang meletak jawatan pada 10 Ogos lalu. - Agensi