'Penyebaran ajaran sesat dalam negara masih terkawal'

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah (kiri) berkenan berbincang bersama Zukifli (kanan) pada Majlis Perasmian Multaqa Ahli Jawatankuasa Fatwa Seluruh Malaysia di Sepang hari ini. - Foto Bernama
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah (kiri) berkenan berbincang bersama Zukifli (kanan) pada Majlis Perasmian Multaqa Ahli Jawatankuasa Fatwa Seluruh Malaysia di Sepang hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Penyebaran fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam di Malaysia masih terkawal, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Meskipun demikian, katanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sentiasa peka dan prihatin kepada golongan yang didapati menyimpang daripada ajaran Islam dan berusaha membantu mereka kembali ke landasan yang betul.

"Saya lihat dalam isu ini (ajaran sesat) lebih kepada amat terkawal, kecuali sengaja seseorang itu tersilap langkah dan memilih cara yang tidak tepat dan perlu kita sedarkan mereka," katanya mengulas laporan penahanan 'Rasul Melayu' yang dikatakan kembali aktif menyebarkan ajaran yang diharamkan pada 1991 bersama pengikutnya di tiga lokasi di Selangor pada Ahad lepas.

Lelaki yang mendakwa dirinya 'Rasul Melayu' itu pernah dihukum penjara 10 tahun, didenda RM16,500 dan enam sebatan bersabit kes penyebaran ajaran sesat oleh Mahkamah Tinggi Syariah Selangor pada Oktober 2009.

Pada sidang akhbar selepas perasmian Multaqa Jawatankuasa Fatwa Seluruh Malaysia di sini hari ini oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, Zulkifli berkata, Jakim akan bekerjasama dengan pihak berkuasa agama negeri bagi membendung penularan dan perkembangan ajaran sesat seperti 'Rasul Melayu' secara komprehensif.

Menurut Zulkifli, beliau pernah bertemu dengan lelaki yang mendakwa 'Rasul Melayu' itu di Penjara Kajang dan lelaki berkenaan menyatakan sudah bertaubat.

"Bila orang menyatakan sudah bertaubat maka kita terima. Sementelah sampai di Selangor dia sendiri buat istitabah (pengakuan untuk bertaubat),” katanya.

Bagaimanapun katanya susulan perkembangan terbaharu itu, pihaknya akan memberi perhatian khusus terhadap perkara berkenaan dan mengambil langkah yang sewajarnya.

Artikel Berkaitan:

Zulkifli berkata, pihaknya juga akan melihat keperluan untuk menyediakan makalah atau buku khusus mengenai ajaran sesat untuk diedarkan kepada imam dan guru takmir yang dilantik pihak berkuasa agama supaya mereka dapat menyampaikan tentang bahayanya ajaran sesat kepada masyarakat.

Mengenai Multaqa Jawatankuasa Fatwa Seluruh Malaysia selama tiga hari yang bermula semalam, Zulkifli berkata, mesyuarat itu menjadi platform untuk para mufti bertukar-tukar pandangan bersama barisan ahli jawatankuasa fatwa dalam pelbagai isu, antaranya penerangan berkenaan tadbir urus kefatwaan semasa dan peranan jawatankuasa fatwa dalam menyelaras fatwa antara negeri. - Bernama