Penjawat awam mengaku tak salah cederakan isteri

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada isterinya, dua tahun lepas.

Mohd Afiq Mohd Yunus, 34, pembantu perawatan kesihatan, dituduh mencederakan isteri (ketika kejadian) berusia 38 tahun itu yang juga seorang jururawat, dengan cara menggenggam pergelangan tangan kanan wanita itu yang kini bekas isterinya.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu dalam surau wanita Klinik Tangling, Dang Wangi di sini jam 7.20 pagi, 9 Oktober 2018 mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hanis Anisha Jamilludin memohon mahkamah tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin, namun Peguam Syafiq Salleh merayu jaminan dibenarkan kepada anak guamnya kerana tertuduh seorang penjawat awam, yang masih berkhidmat.

“Tertuduh juga adalah penanggung kepada anak-anaknya dan juga tiada apa-apa risiko untuk lari, kerana masih terikat dengan pekerjaan sebagai penjawat awam,” katanya.

Majistret S Mageswary membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan, tertuduh tidak boleh menganggu mangsa sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 27 Oktober untuk sebutan semula kes. - Bernama

Artikel Berkaitan: