X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19 catat 82 kes baharu, Sabah kekal kes tertinggi

DR NOOR HISHAM. Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Jumlah kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam lepas di negara ini masih pada dua angka, iaitu 82 kes dengan Sabah kekal mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 60 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes baharu berkenaan yang merangkumi 72 jangkitan tempatan dan 10 kes import menjadikan jumlah kumulatif terkini sebanyak 10,358.

Bagi penularan tempatan, beliau berkata, jangkitan melibatkan 60 rakyat tempatan dan 12 warga asing.

“Kes di Sabah membabitkan 41 kes daripada Kluster Benteng LD (Lahad Datu), selain masing-masing enam kes bagi Kluster Pulau dan Kluster Selamat; lima daripada Kluster Bangau-Bangau (kluster baharu) serta masing-masing satu kes saringan komuniti dan kes saringan rujukan ke Hospital Queen Elizabeth,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Beliau berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan pada masa ini ialah sebanyak 665 kes.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 10 kes di Kedah merangkumi sembilan daripada Kluster Sungai serta satu kes saringan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Kota Setar.

Selain itu, turut direkodkan masing-masing satu kes saringan praprosedur di sebuah pusat perubatan di Selangor dan kes saringan bergejala di Hospital Umum Sarawak, katanya.

Beliau berkata, kes import pula membabitkan sembilan individu yang pulang dari India dan satu dari Indonesia.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah kes pulih pula meningkat kepada tiga angka dengan 168 individu, menjadikan jumlah kumulatif pulih sepenuhnya kini 9,563 kes atau 92.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Tiada kematian baharu direkodkan, jumlah maut kekal 130 kes. Pada masa ini terdapat sembilan kes dirawat di unit rawatan rapi dengan dua daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!