'Sandiwara' disamun dua lelaki terbongkar

Arifai Tarawe
Arifai Tarawe
A
A
A

KUALA LUMPUR - Terdesak mahu menggunakan wang, seorang wanita sanggup membuat laporan palsu kononnya disamun dua lelaki ketika hendak memasukkan wang milik syarikat pembuatan perabot ke bank, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, wanita berusia 25 tahun itu pada mulanya membuat laporan di Balai Polis Rawang pada jam 6 petang mendakwa beg tangan miliknya disamun dua lelaki yang menunggang motosikal ketika berjalan kaki seorang diri untuk memasukkan wang di sebuah bank berhampiran di kawasan tempat kerjanya.

"Wanita itu mendakwa kerugian RM6,788 termasuk RM6,288 milik syarikat yang diserahkan kepadanya untuk dimasukkan ke dalam akaun bank pada hari terbabit.

"Setelah laporan polis dibuat, wanita berkenaan tampil memberikan keterangan berkaitan kejadian," katanya.

Beliau berkata, pihaknya berjaya membongkar sandiwara wanita terbabit yang membuat laporan palsu apabila siasatan mendapati kejadian samun beg tangan itu telah dirancang oleh wanita itu bersama suaminya yang berusia 29 tahun dan dua rakan lelaki suaminya.

"Wanita itu akhirnya mengakui terpaksa membuat laporan palsu untuk menggunakan wang milik syarikat kerana mengalami kesempitan wang untuk perbelanjaan harian.

"Dia kemudian ditahan, hasil soal siasat kita menahan suaminya di Bandar Sunway. Hasil pemeriksaan menemui beg tangan dan barangan peribadi wanita itu tidak hilang," katanya.

Menurutnya, wanita itu juga mengakui memasukkan sejumlah wang milik syarikat ke dalam akaun peribadi milik suami selain memberi upah kepada dua lagi suspek.

Artikel Berkaitan:

"Kita sedang mengesan seorang lagi suspek, manakala tiga individu itu ditahan reman lima hari sehingga Jumaat ini," katanya.

Arifai berkata, kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

"Kita akan merujuk kes ini kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk pertuduhan," katanya.

Arifai menegaskan, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang ke atas individu yang membuat laporan palsu bagi kepentingan diri sendiri.