Mangsa kebakaran 'tidak mahu' diselamatkan

Orang ramai melihat kebakaran yang berlaku dan seorang lelaki maut di tingkat atas sebuah kedai di Taman Melawati, Iskandar Puteri semalam.
Orang ramai melihat kebakaran yang berlaku dan seorang lelaki maut di tingkat atas sebuah kedai di Taman Melawati, Iskandar Puteri semalam.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Usaha menyelamatkan seorang lelaki yang maut dalam kebakaran di tingkat dua sebuah kedai di Taman Melawati, Skudai dekat sini semalam sudah dilakukan rakan sebilik mangsa tetapi tidak berhasil.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, semasa kejadian, rakan sebilik mangsa mendapati asap keluar melalui tingkap dan apabila cuba masuk ke bilik mendapati pintu dikunci dari dalam.

"Rakan mangsa turun ke bawah sambil memanggilnya dan nampak mangsa cuba menutup tingkap. Rakan mangsa kemudian menghubungi pemilik bangunan iaitu bapa saudara mangsa.

"Apabila bapa saudara mangsa sampai dan naik ke tingkat atas bilik mangsa, dia memecahkan pintu bilik dan ketika itu asap sudah banyak sebelum bapa saudaranya turun semula ke bawah bangunan kedai.

"10 minit kemudian bomba datang memadamkan kebakaran dan mendapati hanya kerusi sofa dan kerusi plastik sahaja terbakar manakala mangsa telah meninggal dunia. Ada kesan terbakar di lengan kanan dan pipi kanannya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki maut dalam kebakaran

Dalam kejadian pada jam 6.04 petang, Pan Cheng Bin, 29, meninggal dunia di tingkat atas kedai itu dan kematiannya menimbulkan persoalan kerana kebakaran berlaku hanya melibatkan perkakasan dalam bilik dan ruang tamu serta tidak melibatkan struktur bangunan.

Kebakaran tersebut dipadamkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian dan mayat mangsa yang ditemukan dalam keadaan tidak memakai baju dan berseluar pendek hanya melecur separuh badan.

Dzulkhairi berkata, tempat kejadian merupakan rumah kedai dua tingkat dengan bahagian bawah merupakan kedai membuat perabot manakala tingkat atas ruang pejabat dan juga dijadikan tempat tidur.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mangsa sudah dua bulan tidak bekerja dan sebelum ini bekerja dengan bapa saudaranya membuat perabot di tingkat bawah.

"Mengikut bapa saudaranya, mangsa adalah seorang penagih dadah. Dia telah sudah setahun bercerai dengan isterinya dan mempunyai dua anak. Mayat dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk bedah siasat," katanya.

Beliau memberitahu, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.