Azhar mahu selesai isu rakyat DUN Darau

Azhar Matussin
Azhar Matussin
A
A
A

KOTA KINABALU - Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai, Azhar Matussin yang ‘beralih angin’ bertanding di kawasan baharu iaitu DUN Darau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini berazam untuk menyelesaikan beberapa isu rakyat di kawasan berkenaan.

Beliau yang mewakili Parti Warisan Sabah (Warisan) berkata, antara isu yang akan diselesaikan membabitkan permohonan tanah hak milik, penempatan setinggan, pengangguran khususnya dalam kalangan belia di kawasan terbabit.

“Di kawasan baharu ini, saya mempunyai misi bagi membantu rakyat terutama membabitkan isu permohonan tanah hak milik yang sudah tertangguh sejak 20 hingga 30 tahun lalu.

"Ini amat serius dan saya komited untuk menyelesaikan masalah ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, isu penempatan setinggan yang tidak teratur di kawasan itu menjadi antara faktor peningkatan gejala sosial.

"Di DUN Darau, saya akan cuba untuk membuat penyusunan dan atur semula kawasan setinggan terutamanya tanah milik kerajaan.

"Saya yakin menerusi aktiviti penyusunan dan atur semula itu akan dapat menyediakan satu penempatan tersusun dan baik kepada rakyat melalui kerjasama pelbagai agensi," katanya.

Selain itu katanya, beliau juga akan berusaha untuk menambah sektor industri di kawasan berkenaan dengan menarik lebih ramai pelabur luar bagi meningkatkan peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan khususnya golongan B40.

Artikel Berkaitan:

Pada PRN Sabah kali ini, Azhar akan berdepan dengan bekas Ahli Parlimen Sepanggar yang mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Jumat Idris selain empat calon lain yang mewakili Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Laliman Kemad; calon Parti Gagasan Rakyat Sabah, Dasim @ Ricky Jikah; calon Parti Cinta Sabah (PCS), Ansari Abdullah dan calon Parti Liberal Demokratik, Sumali @ Marino Ahmad.

Sementara itu, Azhar berkata, pihaknya juga mempunyai visi tersendiri dalam memantapkan pentadbiran kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan) sebagai sebuah kerajaan yang kukuh.

Katanya, ini termasuklah dari segi pembangunan; ekonomi dan sosial serta politik di negeri ini khususnya di DUN Darau.

“Tidak terkecuali, saya juga berazam untuk meningkatkan pembangunan dari segi infrastruktur seperti bekalan air bersih; bekalan elektrik dan jalan raya yang teratur.

“Justeru itu, semua ini akan saya laksanakan apabila rakyat khususnya pengundi di DUN Darau memberi mandat untuk saya menjadi wakil rakyat selepas PRN Sabah nanti,” katanya.