Elak penagih berulang

Zulkifli (duduk enam kiri) bersama pegawai dan kakitangan AADK Terengganu dan Besut di Puspen Besut semalam.
Zulkifli (duduk enam kiri) bersama pegawai dan kakitangan AADK Terengganu dan Besut di Puspen Besut semalam.
A
A
A

KAMPUNG RAJA - Penagih tidak lagi ditempatkan di Pusat Serenti (Puspen) negeri asal mereka sebaliknya akan dihantar ke negeri lain untuk memastikan program pemulihan terhadap mereka lebih berkesan.

Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, program penghijrahan pusat rawatan dan pemulihan dadah terhadap penagih dadah dilihat mampu memulihkan penagih daripada menjadi penagih berulang.

Menurutnya, usaha ini dilaksanakan bermula tahun ini bagi membantu proses pemulihan di samping memberikan suasana kehidupan baharu kepada mereka.

“Penagih yang ditempatkan ke pusat rawatan dan pemulihan berdekatan kawasan atau negeri mereka sendiri mempunyai kebarangkalian tinggi untuk jadi penagih berulang kerana mereka tahu selok-belok kawasan tersebut dan mempunyai kawan-kawan penagih,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada lawatan kerja beliau di Puspen Besut, semalam.

Hadir sama pemangku Pengarah AADK Terengganu, Wan Jailani Wan Ismail dan Pengarah Puspen Besut, Arzmi Abdullah.

Zulkifli (kanan) meninjau pusat tahanan sementara di Puspen Besut semalam.
Zulkifli (kanan) meninjau pusat tahanan sementara di Puspen Besut semalam.

Mengulas lanjut katanya, Puspen di Terengganu akan menempatkan pelatih dari Pahang, Johor, Melaka dan negeri-negeri lain, begitu juga sebaliknya,

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, program ini akan bermula tahun ini di samping menumpukan kepada program-program peningkatan kemahiran untuk kakitangan dan pencegahan di peringkat awal.

“Saya percaya suatu hari nanti dengan program-program pencegahan di peringkat umur yang kecil seperti prasekolah, sekolah dan pusat institusi ini, kita akan dapat meminimumkan jumlah penagih mereka yang terjebak sebagai penagih baharu.

“Kita harapkan dalam tempoh 10 hingga 15 tahun lagi akan ada perubahan keadaan yang lebih baik akan berlaku,” katanya.

Ujarnya, negeri di Pantai Timur turut mempunyai peratusan penagih dadah yang agak tinggi berbanding negeri lain di seluruh negara ini ekoran beberapa faktor termasuklah keadaan kehidupan sosial dan sebagainya.

Menurut Zulkifli, berdasarkan hasil penilaian yang dilakukan terhadap pelatih yang menyertai pusat rawatan dan pemulihan ini dapat dilihat bahawa penglibatan awal terhadap kes dadah ini adalah berkait rapat dengan cara hidup mereka seperti jenis penempatan dan juga situasi keluarga mereka.