PKPD Kota Setar: Harga barang keperluan naik

Mohamad Yusrizal (kanan) memaklumkan pihaknya menerima banyak aduan mengenai kenaikan harga barang keperluan daripada penduduk di kawasan PKPD secara pentadbiran di Kota Setar.
Mohamad Yusrizal (kanan) memaklumkan pihaknya menerima banyak aduan mengenai kenaikan harga barang keperluan daripada penduduk di kawasan PKPD secara pentadbiran di Kota Setar.
A
A
A

ALOR SETAR - Persatuan Pengguna Kedah (Cake) menerima banyak aduan mengenai kenaikan harga barang keperluan daripada penduduk dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Kota Setar.

Setiausahanya, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, tinjauan pihaknya di Pasar Besar Alor Setar di sini sejak seminggu lalu mendapati berlaku kenaikan beberapa jenis barang seperti telur ayam, bawang dari India dan sayur-sayuran.

Menurutnya, sayur kangkung mengalami kenaikan paling tinggi iaitu daripada RM8 kepada RM12 sekilogram diikuti bendi RM6 sekilogram naik kepada RM8, bayam daripada RM3.50 sekilogram kepada RM5.50, kubis RM2 sekilogram naik kepada RM3.50.

"Turut mengalami kenaikan harga adalah bawang yang diimport dari India yang mengalami kenaikan daripada RM3 kepada RM4 sekilogram termasuk telur semua jenis gred meningkat sebanyak tiga sen sebiji," katanya ketika ditemui di Pasar Besar Alor Setar di sini hari ini.

Mohamad Yusrizal berkata, peniaga dan peruncit terpaksa menaikkan harga barangan berkenaan kerana menerima harga yang tinggi daripada pemborong.

"Ini tidak bermaksud mereka cuba cekik darah kerana peruncit dan peniaga ini masih menerima keuntungan yang sama. Jadi kita minta pihak berkuasa dapat mengambil tindakan tegas terhadap pemborong supaya tidak mengambil kesempatan ketika rakyat sedang berdepan pandemik koronavirus (Covid-19).

"Kenaikan harga barang sangat memberi kesan kepada orang ramai terutamanya peniaga kecil yang bergaji hari," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Yusrizal (kanan) ketika memeriksa harga telur di Pasar Besar Alor Setar di sini hari ini.
Mohamad Yusrizal (kanan) ketika memeriksa harga telur di Pasar Besar Alor Setar di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, berdasarkan pemantauan pihaknya didapati berlaku kenaikan harga antara lima hingga 10 peratus bagi kesemua barangan terbabit.

Bagaimanapun menurutnya, trend kenaikan itu tidak terlalu mendadak dan ia adalah disebabkan faktor cuaca serta penawaran dan permintaan.

"Bekalan sayur-sayuran ini kita dapat dari Cameron Highlands dan cuaca ketika ini yang kerap hujan turut menjadi punca berlakunya kenaikan harga, tetapi ia masih terkawal setakat ini," katanya.

Katanya, KPDNHEP akan menghantar pegawai pemantau setiap hari untuk memantau harga barangan keperluan di pasar.

"Sekiranya ada kenaikan yang tidak munasabah kita akan menyiasat perkara berkenaan supaya tindakan segera dapat diambil," katanya.