Premis sukan dibenar beroperasi sehingga 2 pagi

Ismail Sabri pada sidang akhbar Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
Ismail Sabri pada sidang akhbar Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan hari ini bersetuju membenarkan waktu operasi premis sukan dilanjutkan sehingga jam 2 pagi, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan selepas kerajaan mengambil maklum mengenai aduan operator premis perniagaan berkaitan sukan.

"Baru-baru ini, saya mengumumkan operasi premis perniagaan termasuk kedai makan dan kedai serbaneka dilanjutkan dari jam 12 tengah malam hingga 2 pagi. (Sedangkan) Operator perniagaan berkaitan sukan sebagai contoh, futsal, mereka sekarang kena tutup pada jam 12 tengah malam.

"Mereka membuat aduan, ramai yang datang bermain futsal di tempat mereka selepas waktu Maghrib atau Isyak... sedangkan banyak pasukan bermain. Atas dasar itu, mesyuarat khas hari ini bersetuju aktiviti sukan juga dilanjutkan sehingga jam 2 pagi," katanya pada sidang akhbar harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Beliau berkata, semua pihak yang terlibat sama ada pemain, pengurus premis dan mereka yang hadir masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Mengenai operasi pematuhan PKPP, Ismail Sabri berkata, 136 individu ditahan kerana ingkar arahan PKPP semalam termasuk keluar rumah tanpa alasan munasabah di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran di Kedah.

Menerusi Ops Benteng pula, beliau berkata, 64 pendatang asing tanpa izin dan seorang tekong ditahan selain lima kenderaan darat dirampas.- Bernama

Artikel Berkaitan: