Lelaki tipu imam RM1,100 dicekup

Nik Ezanee Mohd Faisal
Nik Ezanee Mohd Faisal
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang lelaki ditahan kerana disyaki menipu seorang imam Masjid Seksyen 5, Kota Damansara membabitkan wang tunai sebanyak RM1,100.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, lelaki berusia 35 tahun itu telah ditahan oleh imam dan seorang rakannya di perkarangan Surau Mutiara Damansara, semalam.

Nik Ezanee berkata, mereka kemudiannya membawa lelaki itu ke balai polis dan siasatan awal mendapati suspek telah menipu mangsa pada jam 5.54 petang, 1 Februari lalu.

"Imam berusia 38 tahun itu telah didatangi seorang lelaki yang mengaku mahu memeluk Islam dan meminjam wang bagi urusan menyelesaikan masalah kad kreditnya yang disekat oleh bank," katanya.

Menurutnya, mangsa dengan niat mahu membantu menyerahkan RM450 kepada suspek.

"Suspek kemudiannya pergi ke Terengganu pada Ahad untuk urusniaga bank. Bagaimanapun sebaik tiba di negeri itu dia telah meminta wang tambahan daripada mangsa bagi urusan mengaktifkan kad kreditnya," katanya.

Menurutnya, mangsa sekali lagi telah menyerahkan wang RM650 melalui pindahan wang ke akaun suspek.

"Bagaimanapun, mangsa menyedari nombor telefonnya disekat oleh suspek dan beberapa hari kemudian terserempak dengan suspek di surau berkenaan semalam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nik Ezanee berkata, siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau.

"Suspek ditahan reman selamat empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Terdahulu tular di Facebook yang mendakwa suspek telah menipu ramai imam dan ustaz di negeri ini.