Lima dituduh cemar Sungai Gong dibenar ikat jamin RM400,000 seorang

Semua tertuduh dibawa ke Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi semakan keputusan ikat jamin hari ini.
Semua tertuduh dibawa ke Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi semakan keputusan ikat jamin hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Setelah lapan hari ditempatkan di Penjara Bentong, empat ahli lembaga pengarah dan seorang pengurus sebuah syarikat membaiki jentera berat yang didakwa atas kes pembuangan bahan berbahaya ke Sungai Gong, Rawang dibenar ikat jamin oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini sebanyak RM400,000 seorang.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Norsharidah Awang berkata, Yip Kok Wai, 52; Yip Kok Mun, 58; Yip Kok Kuin, 50; Yip Kok Weng, 60, dan Ho Voon Leong, 59, dibenarkan untuk diikat jamin dengan seorang penjamin namun perlu memenuhi syarat tambahan.

“Pasport bagi kesemua tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah dan jika mereka melakukan kesalahan sepanjang perbicaraan, mahkamah akan menarik balik jaminan tersebut.

“Mahkamah memberi jaminan itu dengan mengambil kira empat faktor iaitu keseriusan kes, tahap kesihatan, kebarangkalian berlaku gangguan terhadap saksi dan kes ini menarik perhatian umum,” katanya ketika semakan keputusan ikat jamin oleh Mahkamah Sesyen, Selayang yang tidak membenarkan tertuduh diikat jamin minggu lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Cemar Sungai Gong: Lima termasuk empat beradik didakwa

Terdahulu ketika membalas hujahan pihak pendakwaan, peguam, Akbardin Abdul Kader berkata, isu ganggu saksi tidak timbul kerana tiada laporan polis dibuat bagi menyokong keterangan yang dikemukakan.

“Walaupun anak guam saya dituduh mengikut Sesyen 430 yang mana ia termasuk dalam kesalahan yang tidak boleh dijamin tetapi mahkamah mempunyai budi bidara untuk memberikan ikat jamin kepada mereka dengan syarat-syarat tertentu,” katanya.

Bagaimanapun ia dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah, apabila menyatakan kesalahan berkenaan menyebabkan bekalan air bagi 1.2 juta pemegang akaun terjejas.

“Pendakwaan percaya wujud kebarangkalian gangguan terhadap saksi, risiko untuk melarikan diri dan pengulangan kesalahan jika mereka dilepas dengan jaminan.

Artikel Berkaitan:

“Jelas sekali, tiada alasan untuk pertimbangan permohonan tertuduh dibenar untuk diikat jaminan, maka tidak ada kekhilafan dalam keputusan Mahkamah Sesyen sebelum ini,” katanya.

Dalam prosiding itu pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah dan Noor Husnita Mohd Radzi manakala pembelaan diwakili peguam Datuk Datuk Akberdin Abdul Kader.

Mengikut pertuduhan, lima tertuduh didakwa aras dua pertuduhan dengan niat bersama telah melakukan khianat dengan menyebabkan bahan buangan yang mengandungi bahan berbahaya dari Bengkel Yip Chee Seng&Sons Sdn Bhd dilupuskan ke alur air.

Ia kemudian mengalir ke dalam Sungai Gong, Rawang dengan mengetahui bahawa ia mungkin akan menyebabkan susut bekalan air bagi minuman manusia.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 30 tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa dengan niat bersama telah melepaskan bahan buangan sama dari bengkel sama tanpa lesen yang didakwa mengikut Seksyen 25(1) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(3) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di premis Yip Chee Seng&Sons Sdn Bhd Lot 4219, Jalan Batu Arang, Kampung Sungai Dua, Rawang di sini antara 2 hingga 3 September lalu.