X

Kindly register in order to view this article
!

Zamburger korban masa, keringat dan wang demi TRW

Norizam turun padang memberikan sokongan padu pada aksi Liga Premier Kelantan menentang Kuching FA di Sarawak baru-baru ini. - Foto TRW Kelantan FC
A
A

PAKAR pelaburan dan usahawan burger, Norizam Tukiman mengakui beliau berdepan laluan sukar sepanjang 19 hari bergelar sebagai pemilik penuh ke atas Kelantan FC.

Luahan itu dikongsikan sendiri Norizam menerusi entri laman sosial Facebook miliknya iaitu Zamsaham.

Menerusi entri itu, Norizam atau Zamburger menceritakan beliau terpaksa menjual sebahagian saham miliknya untuk menyelesaikan hutang Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dengan tujuan memastikan segala urusan penswastaan dan pelesenan dapat dipenuhi dengan sebaik mungkin.

Zamburger berkata, selain itu beliau terpaksa 'bercuti' seketika dari urusan perniagaan buat sementara termasuklah dalam urusan pengambilalihan hotel.

"Bukan sahaja hotel, pelan pengembangan kilang kedua Zamburger terpaksa ditangguhkan buat seketika," katanya.

Menurutnya, beliau juga terpaksa berkorban dalam urusan keluarga termasuklah menghantar ayah mendapatkan rawatan di tempat baharu.

Katanya, walaupun terpaksa bersedih pada permulaan, namun beliau sama sekali tidak akan menangis apatah lagi mengalah.

"Saya tahu kekuatan selepas kesusahan akan datang kesenangan. Saya tidak hanya bergantung pada 'jenama' perniagaan semata-mata, sebaliknya pada usaha, rezeki dan kuasa doa orang-orang yang mempercayai diri ini," katanya.

Anak kelahiran Johor itu berkata, beliau melahirkan rasa syukur apabila dikurniakan pasukan yang berkualiti dalam memastikan semua operasi berjalan lancar.

"Alhamdulillah, ALLAH cukupkan masa 24 jam saya. Mudah-mudahan ALLAH mengurniakan saya penyokong yang bijak menilai.

"Diberikan barisan jurulatih sentiasa mengkaji kekuatan diri, lawan, membuat analisa, usaha serta belajar," katanya.

Zamburger berkata, buat masa ini tiada keperluan untuk menukar jurulatih dalam masa terdekat.

Katanya, beliau mahu semua pihak memberikan masa kepadanya untuk menjadikan The Red Warriors (TRW) lebih baik pada masa hadapan.

"Saya baru menjadi pemilik TRW untuk tempoh 19 hari. Insya-ALLAH kalau 365 hari pasukan Kelantan FC akan berubah jadi semakin baik.

"Sepanjang tempoh itu, saya mengikuti setiap pergerakan pasukan, pemain dan barisan kejurulatihan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!