'Mohamaddin patut minta maaf secara peribadi'

Laporan Sinar Harian semalam. Gambar kanan: Zaidi Mohamad
Laporan Sinar Harian semalam. Gambar kanan: Zaidi Mohamad
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Ahli keluarga pegawai polis yang maut ditembak pengganas Sulu di Lahad Datu dan Simunul, Semporna, Sabah meminta Ahli Parlimen Silam, Datuk Mohamaddin Ketapi membuat permohonan maaf kepada mereka susulan kenyataan menghina anggota keselamatan yang terlibat dalam tragedi Lahad Datu pada 2013.

Zaidi Mohamad, 51, abang kepada Asisten Superintendan Zulkifli Mamat, salah seorang wira negara yang terkorban dalam serangan tujuh tahun lalu juga berharap pemimpin itu memohon maaf secara ikhlas bukan sekadar sandiwara politik semata-mata.

“Tegak bulu roma saya bila dapat tahu perkara ini, dia langsung tidak jaga perasaan keluarga mangsa yang terkorban semata-mata ingin meraih undi sedangkan kematian adik dan rakan pasukan keselamatan lain diiktiraf sebagai perwira negara.

“Benar dia sudah mohon maaf tapi ia (permohonan itu) tidak sampai kepada keluarga. Patut minta maaf secara peribadi kepada keluarga bukannya melalui media,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Sebelum ini, satu klip rakaman video sepanjang dua minit 30 saat tular di media sosial yang memaparkan Mohammadin dari Parti Warisan Sabah (Warisan) berucap ketika berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.

Mohamaddin didakwa memperlekehkan insiden Tanduo itu sambil berkata, anggota keselamatan terbabit sebenarnya bukan ‘berperang’ dengan pengganas sebaliknya hanya ‘berperang’ dengan ayam dan anjing.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis terima laporan terhadap kenyataan Mohamaddin: KPN

Mohamaddin nafi hina anggota keselamatan

Artikel Berkaitan:

Zaidi yang tinggal di Kampung Gong Kepas Dalam, Besut dan bertugas sebagai guru mengakui tragedi itu memberi kesan mendalam kepada mereka sekeluarga terutama ibu, Khatijah Ismail, 70, isteri dan anak-anak arwah.

Dia yang juga adik-beradik seibu berlainan bapa dengan Allahyarham Zulkifli berkata, isteri arwah, Nor Aziah Noor mengalami trauma dan kesedihan serius apabila tidak dapat tidur dengan lena bertahun-tahun lamanya.

Sehubungan itu, dia sekeluarga sedih dan kecewa dengan kenyataan bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu yang disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab dan keterlaluan.

“Kami sekeluarga ambil masa lama untuk merawat kesedihan akibat kejadian itu, kami juga tidak lagi bercakap perkara ini (serangan di Lahad Datu) supaya mak tidak sedih apatah lagi sekarang dia kurang sihat.

“Tapi dia sewenang-wenangnya boleh mengeluarkan kenyataan seperti itu. Nasihat saya, jagalah percakapan supaya tidak ada hati yang terguris, jangan main hentam saja semata-mata untuk meraih undi dan kuasa,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kenyataan Mohamaddin singgung keluarga anggota ATM