ESSCom beri jaminan keselamatan pengundi

No Image Caption
A
A
A

LAHAD DATU - Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) memberi jaminan keselamatan kepada pengundi dan orang ramai pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.

Komander ESSCom, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, sebanyak 10 pasukan khas ESSCom diatur gerak di sekitar Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

"Semua (kawasan) udara, daratan dan perairan kita (pasukan keselamatan) jaga dan ia dilaksanakan lebih aktif lagi ketika ini dan pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di pusat pengundian awal Dewan Serbaguna Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 17, di sini hari ini.

Ahmad Fuad berkata, pengundi pantai timur Sabah tidak perlu risau untuk keluar mengundi pada 26 September ini kerana seluruh kawasan ESSZone dalam kawalan ketat keselamatan.

Baru-baru ini, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali mendedahkan ada menerima maklumat kemasukan besar-besaran rakyat negara asing untuk membuat kekacauan pada PRN Sabtu ini.

Bagaimanapun, Hazani enggan menyatakan bilangan besar-besaran itu dan bentuk kekacauan tersebut.

"Saya beri jaminan keluarlah mengundi beramai-ramai, biar saya dan seluruh pasukan keselamatan di ESSZone menjalankan kerja kami," kata Ahmad Fuad yang turut mengesahkan ada menerima maklumat mengenai percubaan pihak asing menyusup masuk ke Sabah.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 187 pegawai dan anggota ESSCom melaksanakan tanggungjawab mengundi awal hari ini.

PRN Sabah menyaksikan 391 calon mewakili parti politik dan 56 calon Bebas bertanding merebut 73 kerusi termasuk 13 kawasan baharu pada pilihan raya yang diadakan berikutan pembubaran DUN 30 Julai lalu. - Bernama