9 kes cubaan masuk penjenayah Filipina ke Sabah

Hazani (kiri) ketika meninjau proses pengundian awal PRN Sabah di Mess Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah hari ini.- Foto Bernama
Hazani (kiri) ketika meninjau proses pengundian awal PRN Sabah di Mess Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah hari ini.- Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Polis Sabah mengesahkan terdapat sembilan kes cubaan masuk kumpulan penjenayah dari Filipina ke negeri ini untuk melakukan kegiatan menculik bagi memperoleh wang tebusan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, kes membabitkan kumpulan penjenayah dari Filipina itu direkodkan pihaknya sejak Mei tahun lalu sehingga kini.

“Cubaan untuk menculik itu memang ada. Maklumat yang kita terima adalah dari pasukan keselamatan Filipina dan ada percubaan pergerakan untuk menyeberang sempadan.

“Sekarang ini, syukur aset-aset kita di laut sentiasa dalam keadaan siap siaga dan kita akan terus perketatkan kawalan di sempadan perairan kita. Bukan sahaja di musim pilihan raya, malah akan terus memastikan keamanan dan keselamatan Sabah terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat tinjauan undi awal di Mess Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hazani berkata, pihaknya juga sentiasa memantau cubaan pihak tertentu yang mempunyai dua kerakyatan untuk pulang mengundi.

“Kita bukan menghalang mereka yang mempunyai dua kerakyatan ini untuk pulang mengundi dan sebagainya, tapi kita takut mereka menggunakan jalan tikus yang tidak sah balik ke Sabah untuk mengundi.

“Selain itu, kita juga risau mereka ini boleh membawa virus koronavirus (Covid-19) dalam kalangan masyarakat kita nanti.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak dapat menjamin 100 peratus tetapi kita akan cuba yang terbaik untuk memastikan keselamatan dan keamanan negara kita terjamin,” katanya.

Terdahulu, Hazani berkata, seramai 11,423 warga polis terdiri daripada pegawai dan anggota serta kakitangan awam di Sabah keluar mengundi di pusat-pusat mengundi awal yang ditetapkan.

“Di IPK sabah sahaja, seramai 1,444 pegawai dan anggota menunaikan tanggungjawab hari ini yang bermula sejak jam 7.30 pagi tadi, manakala sehingga jam 8.40 pagi seramai 128 anggota polis sudah mengundi.

“Selain itu, hampir 30 peratus anggota polis sudah keluar mengundi dan dijangka sehingga jam 5 petang nanti kita akan dapat jumlah peratusan melebihi 80 peratus untuk menunaikan tanggungjawab mengundi,” katanya.

Pengundian awal yang diadakan di IPK Sabah adalah melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kepayan.