X

Kindly register in order to view this article
!

Pegawai JPN didakwa terima rasuah RM16,000

Mohd Fazdly (kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM16,000 dua tahun lalu.
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang Penolong Pegawai Pendaftaran Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM16,000 dua tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Fazdly Abdul Razak, 42, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun ke atas tiga pertuduhan terhadapnya yang dibacakan jurubahasa.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Mohd Fazdly didakwa menerima wang berjumlah RM14,500 didepositkan ke akaunnya daripada seorang lelaki yang mempunyai hubungan kerja rasmi dengannya di sebuah bank tempatan di Masai pada 13 Jun dan 18 Julai 2018.

Berdasarkan pertuduhan ketiga, Mohd Fazdly turut didakwa menerima wang berjumlah RM1,500 yang dimasukkan ke akaun sama dan daripada lelaki sama di sebuah bank tempatan di Taman Johor Jaya pada 4 Julai 2018.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Mahirah Mohd Pauzi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kamarudin yang menetapkan kes disebut semula pada 26 Oktober ini turut membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan melapor diri di Pejabat SPRM sebulan sekali.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!