Ahli Dewan Negara cadang tubuh Kementerian Peribumi

Razali Idris
Razali Idris
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Razali Idris mencadangkan kerajaan menubuhkan satu kementerian khusus bagi menjaga hal ehwal kaum Melayu, orang asli, masyarakat bumiputera Sabah dan Sarawak serta masyarakat Siam di negara ini.

Beliau turut mencadangkan kementerian itu dikenali sebagai Kementerian Peribumi bertujuan memperkukuh kerjasama kerajaan Pusat untuk menyelesaikan masalah dihadapi oleh masyarakat peribumi dalam pelbagai aspek seperti hak asasi manusia, alam sekitar, pembangunan, pendidikan, kesihatan, ekonomi dan sosial.

Menurutnya, pada masa ini, kepentingan kelompok masyarakat berkenaan berselerak mengikut jabatan atau kementerian yang dipertanggungjawabkan.

"Sebagai contoh, Jabatan Kemajuan Orang Asli diletakkan di bawah Kementerian Luar Bandar; Hal Ehwal Sabah dan Sarawak diletakkan khusus di bawah Kementerian Jabatan Perdana Menteri diketuai seorang Menteri dan timbalan menteri masing-masing asalnya dari kedua-dua negeri berkenaan.

"Ada juga beberapa kerajaan negeri yang mengkhususkan seperti Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam di Kedah, Jawatankuasa Undang-undang dan Anak Negeri di Sabah serta Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli di Pahang serta kepentingan kaum Melayu diletakkan di beberapa kementerian, agensi dan jabatan kerajaan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, isu mengenai masyarakat peribumi hampir sama di seluruh dunia termasuk Malaysia iaitu isu kelangsungan budaya, bahasa, tanah adat, alam sekitar, akses kepada pendidikan, kemiskinan, perkhidmatan dan kemudahan asas.

Menurutnya, sebagaimana masyarakat lain, masyarakat peribumi juga telah mengalami perubahan sama ada perubahan itu dirancang atau perubahan itu datang dari komuniti itu sendiri.

"Isu berkenaan kemunduran dan kemiskinan sering dikaitkan dengan komuniti ini. Namun, dari masa ke masa masyarakat ini mengalami perubahan kesan daripada hambatan globalisasi dan kemodenan.

Artikel Berkaitan:

"Perlu ditegaskan masyarakat peribumi di Semenanjung, Sabah dan Sarawak sudah mula menerima perubahan," katanya.

Sehubungan itu, Razali berkata, sudah tiba masanya kerajaan Pusat memikirkan cara terbaik meletakkan di bawah satu bumbung dengan peruntukan yang khusus kepada masyarakat peribumi ini.