[VIDEO] Proses undi awal anggota TLDM, pasangan berjalan lancar

Thomas Logijin
Thomas Logijin
A
A
A

KOTA KINABALU - Proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah membabitkan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan pasangan di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan TLDM Kota Kinabalu berjalan lancar setakat jam 11 pagi ini.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai, Thomas Logijin berkata, berdasarkan tinjauan awal sebanyak 15 hingga 20 peratus pengundi sudah keluar mengundi.

"Setakat ini keadaan di tempat undian awal DUN Karambunai berjalan lancar mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Berdasarkan tinjauan saya, dianggarkan 15 hingga 20 peratus sudah datang menjalankan hak mereka untuk mengundi," katanya ketika ditemui selepas membuat tinjauan di pusat pengundian awal di Sekolah Kebangsaan TLDM Kota Kinabalu, Pangkalan TLDM, Sepanggar hari ini.

Menurutnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sangat menekankan SOP bagi mengelak penularan wabak koronavirus (Covid-19).

"Petugas SPR membuat pemeriksaan suhu badan dan jika pengundi didapati bergejala akan dibawa ke khemah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pemeriksaan lanjut sama ada dibenarkan masuk untuk mengundi atau mengambil SOP bagi individu bergejala.

"Saya tiada angka (yang bergejala) tetapi ada seorang, dua. Mana yang tidak dibenarkan masuk akan menjalankan pengundian di khemah KMM," katanya.

Terdahulu, beliau menjelaskan terdapat empat saluran disediakan membabitkan 2,131 pengundi hari ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati SPR turut mengambil langkah pencegahan Covid-19 dengan melakukan sanitasi di saluran pengundian setiap dua jam.

Bagaimanapun, kekerapan melakukan sanitasi juga bergantung kepada keadaan semasa.