Mekanik gusar ah long ugut bakar rumah

Mohd Wazir Mohd Yusof
Mohd Wazir Mohd Yusof
A
A
A

KUANTAN- Gara-gara hutang anak lelakinya, seorang bapa bimbang apabila ah long mengugut untuk membaling cat dan membakar rumahnya jika gagal membayar hutang tersebut semalam.

Suspek turut mengugut akan mencederakan anak mangsa jika gagal membayar hutang berjumlah RM6,000 itu dalam tempoh sejam.

Mangsa berusia 48 tahun yang bekerja sebagai mekanik di sini sebelum itu diberitahu oleh suspek bahawa anaknya yang berusia 20 tahun berhutang sebanyak RM1,000 namun bunga yang dikenakan berlipat kali ganda.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, bimbang terhadap ancaman ugutan itu, mangsa tampil membuat laporan polis di sini semalam.

Menurutnya, sebelum menerima panggilan ugutan itu, mangsa mendakwa isterinya turut menerima satu kertas putih tertera nama, nombor kad pengenalan dan nombor telefon anak lelakinya menggunakan tulisan Cina berwarna merah yang dihantar melalui peti surat.

"Difahamkan anak lelakinya keluar rumah hari sebelumnya dan tidak pulang hingga semalam," katanya melalui satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Wazir berkata, susulan laporan polis dibuat lelaki itu, pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan: