'Tak boleh lanjut tempoh lagi'

Stuart Ramalingam
Stuart Ramalingam
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menegaskan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) perlu melengkapkan proses pelesenan kelab menjelang penghujung September ini.

Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam berkata, proses pelesenan KFA yang sepatutnya berakhir 15 September lalu telah pun dilanjutkan susulan daripada situasi semasa di Kedah yang kini berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Lanjutan kepada proses pelesenan kelab ini telah pun diberikan kepada KFA berikutan permohonan yang munasabah akibat PKPD di negeri berkenaan.

“Oleh itu, kita sudah lanjutkan proses pelesenan ini daripada 15 September hingga ke 30 September untuk diselesaikan.

“Kali ini kita tidak akan melanjutkan tempoh dan proses pelesenan berkenaan perlu diselesaikan menjelang penghujung September ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menerusi Presidennya, Muhammad Sanusi Md Nor Sabtu lalu memohon supaya FAM melanjutkan tempoh bagi melengkapkan proses pelesenan kelab susulan negeri itu kini berdepan PKPD secara pentadbiran di Kota Setar sejak 11 September lalu.

Permohonan itu juga dibuat kerana KFA berdepan kesukaran menyediakan beberapa dokumen berkaitan berikutan pejabat agensi yang terlibat tidak dibenarkan beroperasi sehingga 25 September.

Untuk rekod Muhammad Sanusi pada 14 September lalu turut merayu kepada FAM untuk melanjutkan tempoh melengkapkan proses pelesenan kelab yang sepatutnya diserahkan pada 15 September.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Stuart berkata, FAM juga tidak akan melanjutkan tempoh bagi permohonan proses penswastaan pasukan yang melibatkan pertukaran status daripada Persatuan Bola Sepak (FA) kepada Kelab Bola Sepak (FC).

“Proses penswastaan berkenaan seharusnya telah selesai diproses oleh semua pasukan kerana tarikh akhir berbuat demikian telah pun ditetapkan pada 30 September. Kita tidak akan melanjutkan proses penswastaan (FA ke FC) ini,” katanya.