Israel negara penjenayah, perlu dikecam - Dr Mahathir

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR – Ketika membangkitkan mengenai kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Israel adalah sebuah negara penjenayah yang wajar dikecam.

“Saya mohon kepada mereka yang bersimpati dengan perjuangan masyarakat Palestin agar menyuarakan kecaman mereka. Keganasan bukanlah satu jawapan. Satu Strategi yang betul diperlukan untuk memberikan keadilan kepada rakyat Palestin,” kata Perdana Menteri dalam satu posting di blognya hari ini.

Dalam satu tulisan yang agak keras bertajuk ‘A Genocidal State’, Dr Mahathir berkata, seluruh dunia dapat melihat ketidakadilan dan penindasan yang dilakukan Israel terhadap Palestin tetapi Israel tidakpun dikritik oleh mereka yang bercakap mengenai kebebasan dari ketidakadilan dan ‘kedaulatan undang-undang’.

Israel seperti ada hak istimewa. Jika ada pihak mengkritik Israel ataupun holocaust, dia akan terus dilabelkan sebagai anti Yahudi. Memberi implikasi orang itu tidak berperikemanusiaan ataupun tidak bermoral.Tetapi tindakan tidak berperikemanusiaan secara terang-terangan yang dilakukan Israel tidak dikutuk,” katanya.

Malaysia bukan anti-Yahudi atau anti-Semitik, kata beliau, sambil menyatakan orang Arab juga adalah kaum Semitik.

“Tetapi kita berhak untuk mengutuk perbuatan tidak berperikemanusiaan di mana-mana, oleh sesiapa sahaja. Kita telah mengutuk rakyat Myanmar atas perbuatan mereka terhadap Rohingya. Kita mengkritik banyak negara dan orang atas perbuatan tidak berperikemanusiaan.

“Ramai orang dan banyak negara telah mengutuk kita. Tetapi kita tidak pernah dilabelkan atau melabel orang yang bersuara perkara benar dalam dunia yang bebas,” kata Dr Mahathir.

Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa telah membatalkan hak Malaysia untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang dijadualkan pada 29 Julai hingga 4 Ogos di Kuching selepas Malaysia menyatakan pendirian tidak akan membenarkan atlet Israel menyertainya.

Artikel Berkaitan:

“Malaysia halang dua atlet Israel - AS mengharamkan rakyat lima negara Islam dan merancang untuk membina tembok menghalang rakyat Amerika Selatan.

“Hungary, Poland dan Republik Czech mengharamkan kemasukan pelarian. Perdana Menteri Hungary Viktor Orban merujuk pelarian Syria sebagai 'Muslim Penceroboh'," katanya merujuk situasi sekarang yang tidak munasabah.

Menyedari tentang sokongan kuat terhadap Israel, Dr Mahathir berkata Malaysia tidak boleh melawan Israel selain enggan mengiktirafnya, tetapi menyatakan Kuala Lumpur mempunyai hak untuk menghalang kemasukan rakyat Israel ke negara ini. - Bernama