Covid-19 berpotensi besar tersebar ke Semenanjung jika ingkar SOP

Pihak berkuasa disaran memperketatkan lagi penguatkuasaan SOP di Sabah disebabkan pilihan raya semestinya akan menyebabkan pergerakan yang banyak.
Pihak berkuasa disaran memperketatkan lagi penguatkuasaan SOP di Sabah disebabkan pilihan raya semestinya akan menyebabkan pergerakan yang banyak.
A
A
A

SHAH ALAM - Penyebaran wabak koronavirus (Covid-19) dari Sabah ke Semenanjung Malaysia boleh berlaku sekiranya prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh berkempen di Sabah tidak diikuti dengan betul oleh semua pihak khususnya pemimpin parti politik.

Pakar epidemiologi daripada Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud berkata, adalah sukar untuk membendung wabak Covid-19 di Sabah sekiranya SOP tidak dipatuhi.

Jelasnya, berkemungkinan juga penyebaran tetap ada selepas individu terlibat kembali ke Semenanjung Malaysia.

Awang Bulgiba menyarankan agar pihak berkuasa memperketatkan lagi penguatkuasaan SOP di Sabah disebabkan pilihan raya semestinya akan menyebabkan pergerakan yang banyak.

“Sistem E-Covid yang telah dibangunkan oleh KKM (Kementerian Kesihatan) boleh diubah suai untuk membolehkan Klinik Kesihatan yang mempunyai akses internet memantau kes-kes ILI (pesakit Influenza) dan SARI (Jangkitan Pernafasan Akut Teruk) dalam waktu sebenar serta menyalurkan maklumat berkenaan secara terus kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC).

“Jika CPRC mengesan peningkatan kes ILI dan SARI seperti batuk, demam, sakit tekak, sesak nafas dan selsema yang luar biasa, mereka boleh terus mengerahkan petugas Jabatan Kesihatan untuk membuat ujian saringan Covid-19 dan pengesan kontak dengan lebih pantas, sekali gus mengelakkan risiko penularan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Namun, kata beliau, sekiranya penularan dalam masyarakat tempatan di Sabah masih meningkat, kemungkinan kuarantin untuk mana-mana pelawat dari negeri itu ke Semenanjung dan Sarawak perlu dipertimbangkan.

Semalam, Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii disyaki dijangkiti Covid-19 selepas berkempen di Sipitang dan kini menunggu keputusan ujian saringan penyakit tersebut..

Artikel Berkaitan:

Mohd Razlan bagaimanapun diarahkan menjalani kuarantin selama 14 hari di sebuah hospital di Kota Kinabalu..

ARTIKEL BERKAITAN: Pemimpin UMNO positif Covid-19 selepas berkempen di Sabah.

Pemimpin UMNO dikuarantin, belum disahkan positif Covid-19

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani dan Pakar Mikrobiologi Klinikal, Profesor Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed daripada Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia memaklumkan terdapat beberapa langkah yang boleh diambil oleh individu yang terlibat dengan PRN Sabah bagi mencegah penularan Covid-19.

Dalam kenyataan bersama itu, mereka memaklumkan terdapat tiga langkah iaitu sewaktu berkempen, mengundi dan setelah keputusan pilihan raya diumumkan.

“Sewaktu berkempen pastikan ia dijalankan mengikut pematuhan garis panduan KKM iaitu memastikan penjarakan fizikal satu meter serta pemakaian pelitup muka bagi mengawal dan mencegah penularan wabak.

“Turut dicadangkan supaya individu atau kumpulan yang berkempen membawa cecair pembasmi kuman dan menggunakannya secara kerap serta elakkan berpelukan serta bersalaman,” katanya.

Bagi pengundi, adalah diingatkan untuk mengamalkan perkara sama dan menggunakan cecair pembasmi kuman sebelum dan selepas menggunakan alat tulis untuk memangkah kertas undi pada hari pengundian.

“Peringatan berkala melalui sistem siar raya sepanjang proses pengundian dan poster amalan membersihkan tangan dengan kerap itu hendaklah dilakukan supaya pengundi dapat mengamalkannya.

“Paling penting selepas keputusan pilihan raya diumumkan, elakkan meraikan kemenangan calon dengan melakukan perhimpunan secara besar-besaran kerana kita masih tertakluk kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

“Meraikan kemenangan dengan menjulang calon yang menang, berpelukan atau bersalaman hendaklah dielakkan sama sekali,” kata mereka.